malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Persatuan veteran tentera boleh digantung, dibatal jika terlibat politik
Diterbitkan:  May 10, 2021 9:31 PM
Dikemaskini: 1:31 PM
ADS

Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM) berkata Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) boleh membatalkan atau menggantung pendaftaran mana-mana persatuan veteran yang terlibat dalam aktiviti politik.

Menurut persatuan yang diselia bawah Kementerian Pertahanan itu, berdasarkan Seksyen 14, Akta Veteran 2012 (Akta 740), sesebuah persatuan veteran yang berdaftar di bawah JHEV ATM hendaklah menjalankan aktiviti persatuan tanpa diskriminasi jantina, bangsa, agama, asal usul, bahasa, kecenderungan politik atau apa-apa pandangan lain yang dipegang oleh ahlinya.

“Justeru, mana-mana persatuan veteran yang terlibat dalam aktiviti atau kegiatan politik sama ada secara langsung atau tidak langsung adalah menyalahi Akta 740.

“Tindakan sewajarnya sehingga pembatalan atau penggantungan pendaftaran persatuan yang terlibat boleh diambil oleh ROS mengikut Seksyen 18 Akta 740,” menurut JHEV ATM dalam kenyataannya hari ini.

Kenyataan itu dibuat susulan sidang media Veterans’ March to Parliament (Veteran Berarak ke Parlimen) pada 4 Mei lalu membabitkan Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (Veteran) dan mereka mengambil keputusan untuk turut serta bertanding dalam pilihan raya umum (PRU) yang akan datang. 

Menurut presidennya, Kapt Sharuddin Omar, keputusan itu diambil setelah Veteran mendapati kerajaan tidak memandang serius isu yang diketengahkan selama ini, serta kelemahan menangani isu-isu rakyat.

Bagaimanapun, kenyataan itu disangkal oleh JHEV ATM dalam kenyataannya hari ini.

“JHEV ATM selaku agensi kerajaan yang dipertanggungjawabkan untuk menyelia dan menguruskan segala urusan hal ehwal Veteran ATM berpandangan kenyataan tersebut adalah salah dan tidak menggambarkan realiti semasa kerana kerajaan melalui Kementerian Pertahanan sentiasa berusaha untuk memperjuangkan nasib warga Veteran ATM,” katanya.

Veteran sebelum ini berkata mereka telah mengemukakan permohonan ke ROS untuk penubuhan sebuah parti Veteran yang dikenali sebagai Parti Kemakmuran Negara (Kemakmuran).

Bagaimanapun Sharuddin berkata ia masih lagi dalam pertimbangan untuk kelulusan ROS.

Permohonan kepada ROS itu katanya telah dihantar dua bulan yang lalu, justeru dia menggesa kerajaan untuk meluluskan permohonan Kemakmuran sebagai parti politik sebelum PRU ke-15 berlangsung.

Lihat Komen