malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Loke bersedia galas tugas setiausaha agung jika diberi amanah
ADS

WAWANCARA | Peralihan kepimpinan dijangka berlaku pada pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP bulan depan kerana Lim Guan Eng berada pada penggal terakhirnya sebagai setiausaha agung.

Dalam tempoh kurang dari dua bulan lagi bekas menteri kewangan itu bakal melepaskan jawatan setiausaha agung berkenaan selaras dengan peruntukan dalam perlembagaan parti.

Guan Eng menjawat tugas besar itu sejak 17 tahun lalu.

Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke, pula sering dilihat pemimpin yang bakal menjadi pengganti Lim. Ia adalah ‘rahsia terbuka’ apabila pelbagai pihak menyedari bekas menteri pengangkutan itu memang dilatih dalam parti untuk mengambil alih jawatan berkenaan.

Bagaimanapun, Loke kekal merendah diri dan tidak pernah mengaku menginginkan jawatan tersebut.

Menerusi wawancara dengan Malaysiakini dan KiniTV Khamis lalu, ahli politik berusia 44 tahun itu berkata, dia bersedia menerima jawatan setiausaha agung jika diberikan mandat oleh perwakilan parti.

“Bagaimapun, terlalu awal untuk berkata (mengenainya) sekarang. Pemilihan DAP adalah unik dan calon tidak boleh menawarkan diri untuk bertanding dalam mana-mana jawatan.

"Mereka akan dicalonkan oleh dua cabang untuk bertanding dalam CEC dan jika berjaya mendapat tempat dalam kumpulan 30 teratas, maka calon akan dicadangkan portfolio.

“Justeru bukan untuk pihak saya tawarkan diri. Ia adalah pilihan CEC untuk menentukan jika saya layak,” katanya ketika ditanya sama ada dia bersedia untuk menerima jawatan itu atau tidak.

Sudah tiga penggal jadi MP 

Mengenai 'persiapan' yang didakwa dilakukan ke atasnya, Loke berkata, ia adalah proses saya yang berjalan ke atas pempimpin lain dalam DAP.

“Parti ini memberikan saya pelbagai peluang dan tanggungjawab sepanjang karier politik saya.

"Ia telah berikan ruang prespektif besar untuk saya melihat sesuatu isu dari peringkat kebangsaan hingga ke akar umbi; dari organisasi ke belia,” katanya.

Ditanya kemungkinan dia berasa bimbang untuk mentadbir parti, ahli parlimen Seremban itu berkata, sesiapa pun yang menyertai politik tidak boleh gentar sebaliknya mesti berani mengambil tanggungjawab.

Jika takut, katanya, individu terbabit perlu menarik diri atau bersara daripada politik.

Perjalanan Loke dalam DAP peringkat kebangsaan bermula sebagai pengarah pendidikan politik parti sebelum menjawat kedudukan ketua Pemuda DAP.

Pada 2004 dia telah menjadi pengerusi DAP Negeri Sembilan dan menyerai CEC. Loke kemudian dilantik sebagai setiausaha organisasi mulai 2012. Jawatan itu memerlukan dia mengendalikan isu parti seperti kelulusan keanggotaan, perbincangan dengan cabang dan berurusan dengan akar umbi.

Loke juga menjadi ahli parlimen selama tiga penggal selain berkhidmat selaku Adun selama empat penggal. Dia memenangi kerusi parlimen Rasah pada 2008 sebelum berpindah ke kerusi parlimen Seremban pada 2013 dan kekal di situ pada 2018.

Gambar arkib

Pada 2004, Loke mengungguli kerusi DUN Lobak. Selain mewakili Seremban, pada pilihan raya umum (PRU) lalu dia turut mengekalkan kerusi Chennah yang dimenanginya sejak 2013. Loke juga dilantik sebagai ketua whip DAP - menggantikan Lim Kit Siang - pada 2018.

DAP sepatutnya mengadakan kongres tahunan dan pemilihan parti pada 20 Dis tahun lalu namun ia tidak kesampaian dan terpaksa ditangguhkan akibat ancaman Covid-19.

Guan Eng dilantik sebagai setiausaha agung DAP pada Sept 2004 dan kini berada pada penggal terakhirnya.

Sejumlah 86 ahli dicalonkan bagi merebut 30 jawatan dalam CEC dan nasib mereka akan ditentukan kira-kira 4,000 perwakilan dari seluruh negara yang akan menyertai kongres kebangsaan sekali gus pengundian pada 20 Jun ini.

Minggu lalu, Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Tony Pua, berkata Loke adalah antara calon yang sesuai untuk menggantikan Guan Eng.

Jadi sebahagian daripada kerajaan

Turut sependapat dengan Pua ialah Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong; Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan, Gobind Singh Deo; Naib Presiden Chong Chieng Jen, dan Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh.

Selain Loke, bekas timbalan Speaker Dewan Rakyat, Nga Kor Ming, juga antara nama yang disebut menjadi calon bagi jawatan tersebut.

“Semua orang ada hak untuk ke hadapan atau bercita-cita meraih sesuatu jawatan. Saya rasa itu hak individu sebagai pemimpin... tak ada masalah,” kata Loke ketika ditanya reaksinya mengenai Nga.

“Kami tak bergaduh di antara satu sama lain... saya baru jumpa Nga dua hari lalu.

"Kamu pernah nampakkah saya gaduh dengan dia? Kami tidak berbalah,” katanya.

Gambar akib

Mengulas lanjut, Loke berkata matlamat setiausaha agung baru dan kepimpinan DAP adalah untuk memastikan parti itu kekal sebagai gerakan berbilang kaum dan lebih diterima oleh rakyat Malaysia.

“Untuk memastikan parti berjaya, kita perlu mendapatkan Putrajaya dan DAP menjadi sebahagian daripada kerajaan. Matlamat lain adalah untuk pastikan semua 42 kerusi parlimen yang dimenangi pada 2018 lalu kekal,” katanya.

Jelas bekas menteri pengangkutan itu lagi, ia akan menjadi keutamaan sekiranya dia dilantik menjadi setiausaha agung DAP.

Sementara Loke turut berikrar untuk menjadi pemimpin yang memanfaatkan bakat dalam partinya tanpa melihat membezakan antara pemimpin dan ahli biasa.

“Menjadi setiausaha agung bukan bermakna kita paling berkuasa dan menonjol tetapi perlu menjadi yang paling sesuai (untuk menjawat jawatan itu). Ia bukan bererti semua kerja harus dilakukan sendiri.

“Saya tidak lihat dari aspek adakah mereka datang dari sekutu saya atau bukan. Saya akan lihat nilai yang mereka dapat bawa dalam parti.

"Jika pemimpin tidak boleh memanfaatkan seseorang yang dapat memberi nilai dalam parti maka kita akan gagal (dalam tanggungjawab).

“Sebagai setiausaha agung, pemimpin dan menteri, seorang mesti tahu untuk meletakkan orang yang betul di tempat yang betul,” jelasnya.

Menggunakan anologi bola sepak, Loke berkata, seseorang ketua jurulatih perlu tahu untuk memposisi seseorang pemain secara strategik berdasarkan kekuatan yang ada pada mereka.

“Saya telah mewujudkan suasana inklusif dalam DAP Negeri Sembilan, maka disebabkan itu kami tidak berpecah. Namun tipulah kalau saya kata tak ada masalah, cuma isunya ialah bagaimana untuk mengendalikan masalah itu,” tambahnya lagi.

Tambah Loke tiada isu besar timbul di Negeri Sembilan dan semuanya masih terkawal. Meskipun terdapat perbezaan, katanya, dia akan mengendalikan masalah itu dengan melihat kepada situasi secara menyeluruh.

Loke berkata demikian sebagai mengulas cara dia menyelesaikan isu Adun Rahang Mary Josephine Prittam yang meningalkan DAP pada Jun sebelum kembali kepada parti itu dua minggu kemudian.

“Saya beritahu dia, saya tidak boleh tukar keputusan yang dibuat jawatankuasa DAP negeri. Dia tidak berpuas hati dengan pelantikan ketua kampung.

"Saya tidak ubah pendirian sehingga akhir, keputusan jawatankuasa perlu dipertahankan.

"Apabila keputusan dibuat semua pihak perlu akur dan tidak boleh mengugut untuk keluar parti. Ia tidak dibenarkan.

“Bagaimanapun pada masa sama kami pujuk dia agar menerima keputusan yang dibuat itu sambil menjelaskan ia mengikut konteks secara keseluruhan dan dia kemudian bersetuju.

"Ia adalah hasil akhir yang terbaik," katanya.

Untuk rekod Julai 2020 Mary Josephine mengumumkan keputusannya keluar DAP selepas mendakwa diketepikan dalam setiap keputusan yang dibuat parti termasuk dalam pelantikan ketua Majlis Pengurusan Komuniti Desa Negeri Sembilan.

Lihat Komen