Hampir setiap hari menempuh hampir 80 kilometer perjalanan ulang alik antara rumah dan pejabat dengan menunggang motosikal, banyak hal yang bermain di kepala.
Tiada radio atau pemain muzik untuk dimainkan. Selain melayan banyak perkara yang singgah di fikiran, banyak juga yang dicerapnya daripada pemerhatian di sepanjang perjalanan.
Perjalanan pergi dan balik ke tempat kerja itulah, kata pereka bentuk industri, Muhammad Arif Asat, yang banyak mencetuskan ilham kepadanya untuk menghasilkan karya komik di laman Facebook Galeri Sentuhan ArifSan.
“Kita naik motosikal bukannya boleh dengar muzik, jadi banyak masa untuk berfikir, banyak benda bermain dalam kepala kita.
“Pada masa itulah ilham paling banyak datang,” kata Arif kepada Malaysiakini.
Komik Arif menyentuh banyak perkara tetapi subjek yang paling kerap ditampilkan lewat karya-karyanya ialah berkenaan ibu bapa dan ikatan kekeluargaan.
Malah, di halaman Galeri Sentuhan ArifSan, gambar utamanya memaparkan imej seorang ayah sedang menolak basikal dengan anaknya yang berpakaian sekolah, sedang duduk menggendong di belakang.
“Bila di lampu isyarat, kita berhenti tengok orang, tengok respons mereka - ada yang bawa anak pergi sekolah, kadang-kadang idea boleh terlintas.
“Kadang-kadang saya nampak ada ayah bawa anak kecil naik motosikal. Kadang-kadang kita pergi stesen minyak pun kita nampak (ilham). Perjalanan jauh, jadi macam-macam situasi ada sepanjangnya.
“Dulu saya pernah buat komik pasal baju hujan. Itu semua memang yang saya nampak dari atas motosikal saya,” kata lelaki berusia 39 tahun ini.
Dengan motosikal model GPX Gentleman 200, dia berulang alik antara rumahnya di Puncak Alam dan Shah Alam, tempat dia bekerja di sebuah syarikat elektronik.
Komik di halaman Facebooknya turut mengangkat isu semasa seperti pemansuhan UPSR dan tragedi kapal selam Kri Nanggala 402 dari Indonesia namun berdasarkan pemerhatiannya, komik bertemakan kekeluargaan yang tetap mendapat reaksi paling banyak daripada kira-kira 110,000 pengikutnya.
Ibu bapa dan anak yang berjauhan
Selalunya, komik Arif memaparkan kesunyian ibu bapa di kampung setelah anak-anak mendewasa merantau mencari rezeki serta mendirikan keluarga sendiri. Ada juga komiknya memaparkan suasana keriuhan di kampung apabila anak-anak pulang beraya.
Semuanya dihasilkan bukan menggunakan tablet atau pun tablet lukisan, sebaliknya dengan telefon pintar jenama Samsung Galaxy Note 10 miliknya.
Dia mula menghasilkan karya secara digital sejak 2012 dan dikongsikan di akaun Facebook peribadinya, sebelum mewujudkan Galeri Sentuhan ArifSan pada Jun 2018 untuk berkongsi karya-karyanya secara lebih tersusun.
Melewati komen di sana, ramai pengikut yang menjadikan ruang itu sebagai medan melepaskan rindu buat ibu bapa di kampung halaman, lebih-lebih lagi ketika umat Islam memasuki fasa sepuluh malam terakhir sebelum menjelangnya Hari Raya Aidilfitri.
Sedangkan, perjalanan rentas negeri masih belum dibenarkan.
Ada juga yang berkongsi dan mengimbau kenangan masing-masing bersama ibu bapa yang telah pun tiada.
“Kadang-kadang orang simpan di dalam hati, mereka tak kongsi dan luahkan (perasaan rindu) di media sosial mereka. Tapi mereka kongsi guna kartun," katanya.
Arif berkata pengunjung dan pembaca komiknya semakin meningkat sejak perintah kawalan pergerakan tahun lalu. Malah karya-karya lamanya kembali dikongsi mereka.
Dia banyak mendapat mesej daripada pembaca yang meluahkan rasa tersentuh ketika menatal komiknya di skrin telefon masing-masing.
Kebanyakannya mengucapkan terima kasih, dan malah ada yang memberitahunya mereka terus menelefon ibu bapa selepas membaca komiknya - sesuatu yang memberikannya rasa ‘lega’ dalam hati apabila karyanya memberi kesan sebegitu kepada pembaca.
“Ada juga mesej dari ibu bapa sendiri. Ada ibu mesej saya, dia cakap, dia rindu anak-anak dia. Dia harap anak-anak dia baca (komik saya) dan telefon dia semula,” kongsinya.
Ayah saya dulu kuat ...
Selain daripada pemerhatian dari atas motosikal, Arif berkata dia juga mendapat ilham daripada komen pembaca, berita, serta pengalaman waktu kecilnya ketika pulang ke kampung sebelah ibunya di Bukit Gambir, Muar, Johor.
Sedangkan rumah ibu dan bapanya sendiri terletak di Puchong. Kata Arif, dia akan pulang ke rumah mereka seminggu atau dua minggu sekali dan memastikan akan kerap menghubungi mereka, walaupun rumah mereka tidaklah "dipisahkan" dengan larangan rentas negeri.
Meskipun ada seorang adik yang menemani mereka, kata Arif, dia tetap selalu terfikirkan keadaan mereka dan perasaan itu diluahkan dalam lukisannya.
Tambahan pula, katanya lagi, kesihatan ayahnya kini tidak lagi seperti dahulu dan sudah tidak boleh berjalan seperti biasa.
“Kadang-kadang, saya teringat masa kecil, ayah saya cukup kuat. Boleh buat macam-macam. Sekarang, ayah saya pun dah tak larat nak berjalan."
Dia mengakui sering kali dilanda emosi - teringatkan ibu bapa sendiri - ketika berkarya.
"Sampai pernah menangis. Biasalah, bila melukis kita akan fikir watak ini macam mana muka dia, dia tengah buat apa, jadi saya terbayangkan benda itu kena pada ibu bapa saya. Sebab itu bila dah melukis tu, rasa macam sebak pula," kata anak kedua daripada lima beradik itu sambil ketawa.
Setelah berumah tangga dan menyaksikan anak-anak semakin membesar, dia terlintas betapa karya komiknya itu juga mungkin berlaku ke atas dirinya sendiri pada suatu hari nanti.
Hasil perkongsian hidup dengan isteri, mereka dikurniakan tiga anak - seorang perempuan berusia 13 tahun, dan dua anak lelaki berusia lapan dan setahun. Anak keduanya mempunyai autisme.
Arif berpegang yang ibu bapa adalah satu keutamaan, tanpa mengira sejauh mana anak itu membina kehidupan dan keluarga sendiri.
Meskipun laman Facebooknya semakin mendapat perhatian, Arif berkata dia belum menjana apa-apa pendapatan daripada populariti komiknya.
Tetapi bermula tahun lalu, dia berjinak-jinak menghasilkan barangan seperti baju T, kalendar dan sampul raya bermotifkan komiknya, itu pun setelah mendapat permintaan daripada pembaca.
Ditanya apakah dia tidak bercadang mengumpulkan karyanya dalam bentuk buku, kata Arif, memang ramai pengikut yang meminta berbuat demikian.
Cuma dia berdepan kesukaran mendapatkan versi asal karya lama kerana dua telefon pintar lamanya sudah rosak. Komik yang dimuat naik di Facebook memiliki kualiti gambar lebih rendah dan maka tidak sesuai untuk diterbitkan sebagai buku.
Menjelang Aidilfitri tak lama lagi, Arif berkata seperti tahun-tahun sebelumnya, dia sudah menyiapkan karya sempena sambutan itu dan menunggu masa yang sesuai untuk menyiarkannya.