malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
MP: Jangan adakan PKP3.0 mengejut di Lembah Klang
Diterbitkan:  May 1, 2021 10:28 AM
Dikemaskini: 2:28 AM
ADS

Anggota Parlimen Bangi, Ong Kian Ming menggesa kerajaan tidak melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) di Lembah Klang selagi peraturannya tidak jelas.

Ong berkata demikian susulan spekulasi pelaksanaan PKP 3.0 di Lembah Klang minggu depan akibat peningkatan kes harian Covid-19.

Jelasnya, jika PKP dilaksanakan secara terburu-buru, lebih ramai orang akan dikompaun RM10,000 akibat melanggar prosedur operasi standard (SOP) kerana tidak jelas akan peraturan dalam perintah kawalan itu.

“Sebagai contoh, berapa ramai boleh duduk dalam kereta ketika PKP 3.0? Satu, dua atau tiga? soal Ong dalam kenyataan media.

Selain itu, Ong turut menyatakan pelaksanaan PKP di Lembah Klang akan memberi kesan terhadap 10 juta penduduk.

Tambahnya, Majlis Keselamatan Negara (MKN) sepatutnya sudah memiliki sistem untuk memberi amaran awal kepada penduduk mengenai peraturan sebelum PKP diumumkan.

 “Saya gesa menteri bertanggungjawab, tidak melaksanakan PKP di Lembah Klang di saat-saat akhir dan tanpa mengesahkan peraturannya,” jelasnya.

Jumlah harian kes Covid-19 di Lembah Klang kini mencecah empat digit sejak 23 April lalu.

Setakat ini, PKP dikenakan di Kelantan dan lima daripada 12 daerah di Kedah:

Antara peraturan PKP adalah sekatan rentas negeri, tidak boleh mengadakan majlis sosial atau keagamaan dan penutupan sekolah.

Sementara itu, Ong berkata sekiranya PKP dilaksanakan di Lembah Klang, ia mencerminkan kegagalan kerajaan mengawal penularan wabak itu sewaktu proklamasi darurat.

“Ini adalah masa untuk membuka kembali Parlimen agar dasar bagaimana untuk mengawal Covid-19 dapat dibincangkan secara terbuka oleh menteri bertanggungjawab dengan beberapa aspek dan dasar tersebut dapat dipersoalkan oleh pembangkang dan penyokong kerajaan.

“Peningkatan Covid-19, keperluan mengumumkan satu lagi PKP dan penutupan berterusan Dewan Rakyat menunjukkan kerajaan ini gagal,” tambahnya. 

Lihat Komen