malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PM Thailand kena denda sebab tak pakai pelitup muka
ADS

GLOBAL | Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan o-cha adalah antara orang awal didenda kerana tidak memakai pelitup muka hari ini, yakni hari pertama pihak berkuasa di Bangkok mewajibkan orang ramai memakai pelitup muka di kawasan awam.

Prayuth yang juga merupakan menteri pertahanan didenda 6,000 baht (RM782) kerana melanggar peraturan semasa menghadiri mesyuarat di rumah kerajaan siang tadi.

Sekeping gambar Prayuth tanpa memakai pelitup muka semasa mempengerusikan mesyuarat disebar meluas di media sosial awal hari ini.

Gambar yang dimuatkan di Facebook rasmi Prayuth itu bagaimanapun telah dipadam kemudiannya.

Gabenor Bangkok Aswin Kwanmuang dalam laman rasmi Facebooknya berkata dia memfailkan aduan terhadap perdana menteri hari ini.

Aswin berkata perdana menteri itu diberitahu bahawa dia melanggar peraturan yang mewajibkan pemakaian pelitup muka semasa di luar kediaman.

“Beliau (Prayuth) telah dikenakan denda 6,000 baht… Beliau setuju untuk membayar denda berkenaan,” katanya.

Seksyen 51 Akta Penyakit Berjangkit 2015 Thailand menetapkan bahawa seseorang yang telah melanggar peraturan itu boleh dikenakan denda maksimum 20,000 baht.

Bagaimanapun Bangkok Post melaporkan pegawai penguat kuasa mungkin menimbangkan pertuduhan yang lebih ringan berdasarkan peraturan berkaitan denda itu, antara lain menetapkan denda 6,000 baht bagi kesalahan kali pertama, 12,000 baht bagi kali kedua, dan 20,000 baht bagi kali ketiga.

Hari ini merupakan hari pertama peraturan memakai pelitup muka diwajibkan di tempat awam di Bangkok bagi menangani penularan Covid-19 susulan jumlah kes jangkitan yang melonjak ketika ini.

- Bernama

Lihat Komen