Sesiapa pun tidak wajar memalukan seseorang dengan memeriksa bahagian sulit individu tersebut meskipun dengan apa-apa alasan sekalipun, kata Mufti Pulau Pinang Wan Salim Wan Mohd Noor.
Wan Salim berkata demikian bagi mengulas tindakan pihak sekolah melakukan "pemeriksaan datang bulan" terhadap pelajar perempuan bagi mengelakkan mereka ponteng waktu solat.
Menurut Wan Salim, setiap orang mempunyai maruah diri yang wajib dihormati oleh orang lain, termasuklah hak menutup bahagian-bahagian sulit tubuh mereka daripada dilihat oleh orang lain.
“Agama Islam melarang keras umatnya melihat aurat orang lain walaupun dengan alasan untuk melaksanakan kewajipan yang dituntut seperti untuk menghalang seorang pelajar perempuan daripada berdalih untuk meninggalkan kewajipan solat,” katanya kepada Malaysiakini.
Terdahulu, NGO berkaitan hak wanita All Women’s Action Society (Awam), Pertubuhan Pembangunan Kendiri Wanita dan Gadis (Women:girls) dan Sisters In Islam (SIS) dalam kenyataan bersama mengecam tindakan pihak sekolah berasrama yang melakukan pemeriksaan haid terhadap pelajar yang mengakui diri mereka sedang datang haid.
Pemeriksaan tersebut melibatkan sentuhan fizikal di bahagian sulit pelajar perempuan bagi membuktikan bahawa pelajar perempuan tersebut benar-benar datang haid dan tidak ponteng sesi waktu solat.
Mengulas lanjut isu tersebut, Wan Salim berkata Islam sememangnya mewajibkan setiap penganutnya mendirikan solat lima waktu tetapi ia tidak bererti ia membenarkan kanak-kanak diperlakukan sedemikian rupa.
“Islam juga memerintahkan ibu bapa atau waris kanak-kanak membiasakan mereka menunaikan kewajipan ini sejak kecil lagi.
“Malah ibu bapa dan waris disarankan memukul secara lembut kanak-kanak yang malas menunaikan solat.
“Tetapi ini tidak bererti Islam membenarkan kanak-kanak diperlakukan dengan tindakan-tindakan yang boleh memalukan mereka seperti memeriksa bahagian sulit mereka untuk memastikan sama ada mereka kedatangan haid atau tidak,” katanya.
Katanya, perbuatan sedemikian adalah haram menurut hukum Islam kerana dianggap menceroboh kehormatan seseorang.
Malah katanya, terdapat banyak cara untuk memastikan seseorang gadis atau pelajar perempuan itu sedang didatangi haid, seperti bertanya kepada ibu bapa atau rakan mereka.
“Aurat seorang wanita Islam adalah seluruh tubuhnya kecuali muka dan telapak tangan. Setiap wanita Islam yang berakal dan sampai umur baligh adalah diwajibkan menutup aurat masing-masing.
“Tiada siapapun dibenarkan melihat aurat seorang perempuan selain suaminya yang sah,” jelasnya.
Jangan sulitkan keadaan
Sementara itu, Presiden Pertubuhan Doktor-doktor Islam Malaysia (Perdim) Dr Ahmad Shukri Ismail pula melihat perbuatan memeriksa di bahagian sulit kerana untuk mengelakkan pelajar ponteng solat adalah keterlaluan.
“Memadailah dengan pengakuan dari individu terlibat dan tak perlulah sampai nak periksa tuala wanita.
“Dalam Islam tidak ada unsur paksaan dan Islam itu mudah. Jangan kita sulitkan keadaan sehingga membuatkan orang melihat Islam terlalu rijid,” katanya kepada Malaysiakini.
Ahmad Shukri yang turut sependapat dengan Wan Salim berkata sekiranya ibu bapa telah mendidik anak untuk bercakap benar dan ada rasa tanggungjawab serta mengajar mereka untuk bersolat sudah memadai.
Tambahnya, dia yakin mereka yang berbohong mengenai didatangi haid itu hanyalah segelintir tetapi berpendapat ia tidak perlu diperbesarkan kerana pihak sekolah boleh mendapatkan kepastian dengan cara lain.
“Mungkin terjadi satu atau dua kes tak perlu diperbesarkan dan melalui rakan mungkin kita boleh dapat kepastian. Dan penguatkuasaan adalah cara terakhir, seeloknya kaunseling dan ulang kaji fadhilat solat dan hukum meninggalkan solat.
“Tindakan pihak berwajib di sekolah perlulah berhemah,” katanya.
Isu tersebut muncul selepas pengguna di Twitter mendedahkan bahawa terdapat guru-guru wanita meraba tubuh badan mereka untuk melihat sama mereka membawa barangan terlarang ke sekolah seperti memakai barang kemas, membawa telefon bimbit.
Menurut mereka, kadang kala mereka disuruh menanggalkan coli mereka kerana bagi memastikan ia tidak disembunyikan di situ.
Ada di antara mereka yang mendakwa bahawa payudara mereka diraba oleh guru-guru wanita sebagai sebahagian daripada pemeriksaan berikutan aduan daripada rakan mereka kerana memakai “training bra.”
Malah, pelajar juga pernah ditampar kerana mempunyai kuku yang panjang atau enggan untuk terlibat dalam cara pemakaian tudung dan dirotan kerana tidak memakai seluar pendek dalam baju kurung.
Menurut kenyataan gabungan tiga NGO tersebut, selain pemeriksaan haid terdapat pemeriksaan lain seperti memeriksa sama ada pelajar tersebut membawa barangan terlarang ke sekolah, memalukan mereka di khalayak ramai dari segi pemakaian dan hubungan intim dengan seseorang.
Insiden tersebut antara perkara yang dialami oleh pelajar di sekolah di Malaysia sehingga ia mendapat perhatian baru-baru ini.
Kenyataan bersama tersebut turut menggesa supaya Kementerian Pelajaran dan Majlis Amanah Rakyat (Mara) meneliti isu itu dengan berkesan.
Katanya ia melanggar autonomi peribadi seseorang serta memalukan melalui alasan hukuman tatatertib tetapi bersekat dengan gangguan dan penyalahgunaan kuasa.
“Kejadian yang dilaporkan itu turut melibatkan guru agama (ustazah dan ustaz) yang mengarahkan pelajar perempuan menyapu tisu atau kapas pada bahagian alat sulit mereka untuk menunjukkan bukti darah atau menanggalkan seluar dalam mereka untuk menunjukkan tuala wanita mereka sebagai bukti bahawa mereka sedang didatangi haid.
“Ini kerana ustazah tersebut menganggap bahawa haid digunakan sebagai alasan untuk mereka meninggalkan solat.
“Guru juga telah dikatakan meraba pakaian dalam dan seluar dalam (pelajar) untuk melakukan pemeriksaan haid,” kata kenyataan itu.