malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Amanah: PN kata nak jaga Melayu, bela Islam tapi judi bertambah
Diterbitkan:  Apr 17, 2021 1:57 PM
Dikemaskini: 5:59 AM
ADS

Kemunculan dua klip video iklan judi raya yang tersebar ketika pemerintahan kerajaan Perikatan Nasional (PN) adalah sesuatu yang mengejutkan, kata Adun Taman Templer, Mohd Sany Hamzan.

Menurut ketua Biro Mobilisasi Amanah itu, ketika kerajaan PN sering mencanangkan mereka mahu membela Islam di negara ini, video judi raya itu timbul dan tersebar pada Ramadan untuk mengajak penganutnya berjudi.

“Sekarang ini negara kita diperintah oleh kerajaan PN [...] tiada parti DAP dalam kerajaan ini. Yang ada adalah PAS.

“Ini sangat merisaukan dan mendukacitakan kita sebagai orang Islam-Melayu dalam negara kita ini, sebab kerajaan yang ada pada hari ini, dia menyatakan bahawa mereka adalah kerajaan Melayu-Islam yang nak jaga Islam, nak jaga Melayu," katanya.

Selepas kecoh dengan kemunculan satu klip video perjudian semalam, kata Mohd Sany, hari ini muncul pula klip video kedua dengan matlamat sama - mengajak orang ramai berjudi.

Mohd Sany berkata demikian kepada media selepas keluar dari bangunan Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul tengah hari tadi. Sebelum itu dia mengiringi Naib Pengerusi Amanah Wilayah Persekutuan Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi untuk membuat laporan polis berhubung penularan dua video berkenaan.

Dalam laporan itu, Ahmad Zamri menyifatkan dua video terbabit bukan sahaja mencemarkan kesucian Ramadan serta biadab, malah melanggar peruntukan undang-undang negara khususnya Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Perlu ambil tindakan segera

Bahkan, katanya video yang mempromosi judi secara terbuka itu juga boleh dianggap sebagai hasutan kepada orang awam khususnya umat Islam untuk terlibat dalam perjudian dalam talian.

Bercakap kepada pemberita selepas membuat laporan polis, Ahmad Zamri berkata, video kedua syarikat judi itu juga dihasilkan dengan latar belakang hari raya dan tular di media sosial.

Sebelum ini, klip video lagu raya pertama oleh sebuah syarikat judi dalam talian tular sejak semalam mengajak umat Islam berjudi pada bulan Ramadan bagi memenuhi keperluan hari raya.

Video berdurasi 2.48 minit itu memaparkan pelakon lelaki berbaju Melayu dan perempuan berbaju kurung, dan ada yang bertudung dengan lagu berkisar sambutan Aidilfitri.

Video kedua berdurasi 2.42 minit pula mula tersebar pagi ini dipercayai dihasilkan syarikat yang berbeza namun tampil dengan tema sama iaitu suasana menjelang hari raya.

Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi

Menurut Mohd Sany, orang ramai kini dapat melihat bagaimana sebuah "kerajaan tebuk atap" mahu membela orang Melayu dan Islam tapi gagal mengekang promosi judi.

“Seluruh rakyat Malaysia, lihatlah - inilah kerajaan tebuk atap, kerajaan PN yang dikatakan nak bela Melayu, nak bela Islam tapi judi terus bertambah,” kata Sany lagi.

Semalam, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia semalam memaklumkan mereka sudah telah berkomunikasi dengan penyedia platform media sosial seperti Facebook, Twitter dan YouTube untuk menurunkan video pertama itu.

Pun begitu, kata Ahmad Zamri setakat pagi tadi video-video berkenaan masih lagi boleh diakses.

“SKMM perlu mengambil tindakan dengan segera kerana ini melibatkan sensitiviti kaum dan agama.

“Bukan hanya (terhadap) politik pembangkang saja mereka perlu ambil tindakan dengan segera, tapi ini isu yang besar yang perlu mereka ambil tindakan segera untuk menyekat penularan video ini,” kata Ahmad Zamri. 

Lihat Komen