malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Polis kesan ada pihak ugut isytihar 'perang', kepung Klang
ADS

Polis Diraja Malaysia menggesa dan menasihatkan masyarakat, agar tidak mengambil undang-undang di tangan sendiri dan mengeruhkan keadaan susulan kejadian dua pengawal peribadi yang dipukul oleh majian kerana berpuasa.

Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, pihaknya telah mengesan beberapa gesaan yang berbaur ugutan daripada pihak tertentu, untuk mengisytiharkan perang dan mengepung kawasan Klang.

“Kenyataan yang sebegini, boleh mengeruhkan keadaan, serta menjejaskan ketenteraman awam dan boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu beliau berkata beberapa video klip juga dikesan telah dimuat naik dari pelbagai platform media sosial, yang menggesa supaya tindakan setimpal diambil terhadap suspek.

Arjunaidi berkata, sehingga ini pihak polis mengesahkan bahawa seramai lima orang telah ditangkap melalui beberapa siri tangkapan bagi membantu siasatan.

Dari jumlah tersebut, katanya seramai empat orang telah ditangkap di Klang Selatan, Selangor sementara seorang lagi di Dang wangi, Kuala Lumpur dan kesemua suspek telah ditahan reman antara lima hari hingga tujuh hari.

Sehubungan itu, beliau berkata orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi, perkongsian dan menyebarkan sesuatu berita dari sumber yang tidak sahih. 

- Bernama

Lihat Komen