malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Syed Saddiq: Lantik timbalan menteri baru boleh bantu rakyat isi perut?
Diterbitkan:  Apr 16, 2021 2:01 PM
Dikemaskini: 12:46 PM
ADS

Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mempersoalkan pelantikan Senator Guan Dee Koh Hoi sebagai timbalan menteri pelancongan, seni dan budaya yang baru.

Syed Saddiq yang juga bekas menteri belia dan sukan, membangkitkan kenyataan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) sudah tiada banyak wang, beberapa hari sebelum pelantikan itu.

Katanya, ia menunjukkan PN lebih memikirkan soal politik berbanding rakyat.

“Untuk hal-hal politik, memang banyak cara dan daya. Nak buat mesyuarat di negeri lain, boleh. Nak buat jelajah politik, boleh. Nak tutup Parlimen pun boleh. Tapi kalau untuk rakyat, memang susah dan banyak halangan.

"Kali ini, kerajaan nak lantik seorang lagi timbalan menteri untuk kementerian pelancongan, seni dan budaya.

"Bukan sahaja sekarang rakyat tidak dibenarkan melancong, tapi saya hairan bagaimana kerajaan boleh melihat pelantikan seorang timbalan menteri pelancongan ini akan membantu rakyat mengisi perut yang kosong," katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Pada 12 April lalu, Muhyiddin berkata kerajaan telah membelanjakan banyak wang iaitu sebanyak RM600 bilion dalam Belanjawan 2021 dan beberapa pakej rangsangan untuk membantu rakyat Malaysia yang terkesan dengan penularan wabak Covid-19.

Muhyiddin berkata ia menyebabkan negara kini sudah tidak mempunyai wang yang banyak.

Guan yang merupakan setiausaha agung Parti Solidariti Tanah Airku (Star) mengangkat sumpah jawatan sebagai timbalan menteri hari ini.

Sebelum ini, jawatan itu disandang presiden parti itu, Jeffrey Kitingan yang meletak jawatan apabila dilantik sebagai timbalan ketua menteri Sabah tahun lalu.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq juga mendakwa ada sejumlah janji kerajaan yang belum dilaksanakan sepenuhnya seperti pemberian komputer riba dan bantuan e-dompet.

Bantuan seperti pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah wang milik orang ramai sendiri, katanya.

"Jadi itulah keutamaan kerajaan hari ini. Kerajaan PN lebih berfikir hal survival politik berbanding survival rakyat.

"Menteri dan timbalan menteri syukur dapat gaji dan jawatan, rakyat pula hilang kerja, tutup kedai, kereta dan rumah kena lelong," katanya lagi.

Sementara itu, mengulas kenyataan Syed Saddiq, Ahli Majlis Tertinggi Bersatu Mohd Farid Zawari menyifatkan ia sebagai "gambaran salah" dan "mengelirukan rakyat".

"Pelantikan Guan bukan lantikan tambahan. Tetapi ia adalah penggantian tempat Jeffrey Kitingan yang meletak jawatan timbalan menteri setelah dilantik sebagai timbalan ketua menteri Sabah.

"Syed Saddiq harus lebih cermat. Jangan bercakap melulu tanpa memeriksa latar belakang sepenuhnya. Tuduhan beliau adalah salah sama sekali kerana penggantian jawatan ini tidak membabitkan apa-apa kos baru. 

"Malahan perlantikan ini merupakan satu pengiktirafan kepada negeri Sabah dan rakyat Sabah," katanya. 

Lihat Komen