malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Setiausaha Star Guan Dee angkat sumpah timbalan menteri
Diterbitkan:  Apr 16, 2021 12:42 PM
Dikemaskini: 7:46 AM
ADS

Senator Datuk Guan Dee Koh Hoi hari ini mengangkat sumpah jawatan Timbalan Menteri Persekutuan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Guan Dee yang juga Setiausaha Agung Parti Solidariti Tanah Airku (Star) mengangkat sumpah jawatan itu pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Sumpah Simpan Rahsia di Singgahsana Kecil, Istana Negara di sini.

Turut menyaksikan istiadat berkenaan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Hadir sama Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri dan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Sementara itu, Guan Dee ketika ditemui selepas istiadat tersebut mengesahkan beliau dilantik sebagai Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana memberikan peluang ini kepada parti Star untuk menyertai Kabinet (pentadbiran) Persekutuan,” katanya.

Guan Dee turut melahirkan aspirasi untuk meningkatkan semula sektor pelancongan iaitu antara sektor terkesan akibat Covid-19.

Sementara itu, Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan hari ini memaklumkan pelantikan Guan Dee sebagai Timbalan Menteri Persekutuan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong selaras dengan Fasal (1) Perkara 43A Perlembagaan Persekutuan.

Beliau dilantik ke jawatan itu bagi menggantikan Datuk Seri Dr Jeffry G Kitingan yang telah meletakkan jawatan selepas mengangkat sumpah sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah II merangkap Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah pada 29 Sept 2020.

- Bernama

Lihat Komen