malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Covid-19 jadi lebih bahaya lepas 3 bulan darurat - Najib
Diterbitkan:  Apr 16, 2021 11:56 AM
Dikemaskini: 4:20 AM
ADS

Bekas perdana menteri, Najib Razak terus mempertikaikan tindakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang melaksankan proklamasi darurat tetapi selepas tiga bulan terus gagal mengawal penularan wabak Covid-19.

“Malaysia bukan sahaja satu-satunya negara dalam dunia yang isytihar darurat dan gantung parlimen serta perlembagaan kononnya untuk lawan Covid-19.

“Malah kita satu-satunya negara dalam dunia di mana situasi Covid-19 menjadi lebih berbahaya selepas tiga bulan perlaksanaan darurat,” katanya dalam satu catatan ringkas di Facebook hari ini.

Najib turut memuat naik statistik Covid-19 semalam yang direkodkan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Selepas darurat tiga bulan kononnya untuk melawan Covid-19: - sedikit penurunan dalam kes baru, kematian baru naik, jumlah pesakit dalam ICU naik, kluster baru dikesan naik, bilangan kluster yang masih aktif naik, dan kadar kebolehjangkitan (R0) naik,” katanya.

Bekas perdana menteri itu turut menyertakan gambar rajah bagi membuktikan hujahnya itu.

Pada Januari lalu, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan supaya Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos atau lebih awal jika kes Covid-19 harian dapat dikawal.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata parlimen akan digantung dan pilihan raya tidak akan diadakan, tetapi badan kehakiman, kerajaan awam dan kegiatan ekonomi akan berjalan seperti biasa.

Selain Najib, bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad turut menyindir Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin yang didakwa menggunakan kelebihan pengisytiharaan darurat untuk kepentingan diri sendiri.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi juga mengulangi gesaannya agar Parlimen bersidang semula termasuk secara maya seperti yang banyak dilakukan negara lain.

Selain itu, katanya, ramai ahli parlimen telah mengambil suntikan vaksin Covid-19 sejak program vaksinasi kebangsaan bermula.

Lihat Komen