malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Usaha hidupkan tulisan Jawi perlu inklusif, kata Iman
ADS

Seruan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin agar pelbagai pihak memainkan peranan untuk menghidupkan semula penggunaan tulisan Jawi disokong Parti Perikatan India Muslim Malaysia (Iman).

Namun, presidennya Mohammed Mosin Abdul Razak berkata sebarang usaha kerajaan untuk memperkenalkan semula tulisan Jawi perlulah bersifat inklusif.

"Kami sangat sokong seruan perdana menteri supaya tulisan Jawi dihidupkan semula.

"Tetapi, ia perlu dilaksanakan secara inklusif untuk mengelakkan kekeliruan seperti yang berlaku ketika zaman kerajaan Pakatan Harapan (PH)," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis agihan iftar Ramadan di Masjid India Kuala Lumpur hari ini.

Dia berkata demikian sebagai mengulas seruan Muhyiddin sebelum ini yang berpendapat penggunaan tulisan Jawi harus diperbanyak, termasuk di papan-papan tanda dan acara festival melibatkan semua termasuk institusi kerajaan di pelbagai kementerian, dan pihak swasta seperti syarikat korporat dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Untuk rekod, pada pertengahan 2019, kerajaan PH ketika itu bersetuju untuk meneruskan pelan pentadbiran sebelumnya untuk memperkenalkan seni khat atau kaligrafi Melayu ke dalam subjek Bahasa Malaysia tahun empat sekolah rendah jenis kebangsaan.

Mohammed Mosin

Keputusan itu mendapat bantahan keras daripada beberapa pihak bukan Melayu kerana mereka percaya tindakan itu berkaitan dengan Islamisasi dan akan membebankan anak-anak mereka.

Menteri pendidikan ketika itu, Maszlee Malik, pada mulanya enggan mengalah dengan keputusan yang dibuat, dan menjelaskan bahawa khat adalah sebahagian daripada warisan Melayu dan pelajaran hanya melibatkan enam halaman di buku teks.

Akhirnya, PH beralih daripada pengenalan kepada khat kepada pengenalan kepada Jawi, yang hanya melibatkan tiga halaman.

Sekolah vernakular mempunyai pilihan untuk memilih mempelajari ketiga-tiga halaman tersebut melalui jumlah sokongan daripada ibu bapa.

Pada Julai lalu, Menteri Pendidikan Mohd Radzi Jidin berkata kerajaan akan mengkaji semula perkara tersebut.

Bagaimanapun, Mohammed Mohsin berpendapat bahawa isu penolakan terhadap tulisan Jawi berlaku kerana kerajaan ketika itu gagal memberi penjelasan mengenainya.

"Ini kerana ramai kalangan bukan Islam menganggap bahawa tulisan Jawi adalah salah satu aspek Islam.

"Ini yang perlu diterangkan bahawa Jawi sebahagian bahasa Melayu," katanya sambil menambah Iman sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak yang mempromosikan tulisan Jawi.

Iman adalah parti politik baru ditubuhkan pada 2019.

Lihat Komen