malaysiakini logo
story-image
ADS

Bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad mengakui ada usaha dilakukan untuk membawa dia menyertai gabungan Perikatan Nasional (PN).

Dalam wawancara dengan Malaysiakini pada Rabu lalu, Mahathir berkata usaha itu tidak berjaya kerana dia tidak boleh bekerjasama dengan beberapa 'penjenayah' yang menyokong kerajaan sekarang.

Bagaimanapun, Mahathir berkata keadaan itu mungkin berbeza jika individu berkenaan berada di luar PN.

"Bukan saja masa tu (Langkah Sheraton), sekarang pun ada usaha nak tarik saya masuk. Saya tak boleh.

"Saya buat ucapan janji dengan orang kita nak tolak Najib (Razak), saya tak boleh kerjasama dengan Najib.

"Parti (Umno) sekarang ni kalau tak ada Najib dan empat, lima orang lagi kluster mahkamah tu, jatuh. 

"Dia orang bergantung kepada bukan Melayu, kedua penjenayah. Saya tidak boleh dikaitkan dengannya," katanya.

Mahathir merujuk kepada bekas Perdana Menteri Najib Razak dan beberapa pemimpin Umno lain, termasuk presidennya Ahmad Zahid Hamidi, yang kini menghadapi tuduhan jenayah di mahkamah.

Najib dijatuhi hukuman penjara oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas tujuh tuduhan tahun lalu dan sedang dalam proses rayuan di Mahkamah Rayuan, manakala yang lain masih dalam proses perbicaraan.

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang pada Februari 2020 setelah hanya 22 bulan berkuasa susulan rampasan kuasa yang dikenali sebagai Langkah Sheraton.

Usaha itu dirancang sekumpulan anggota parlimen termasuk daripada Bersatu yang mana Mahathir adalah pengerusinya.

Mahathir meninggalkan Bersatu kerana tidak bersetuju dengan tindakan presidennya, Muhyiddin Yassin mengetuai rampasan kuasa berkenaan.

 Muhyiddin kemudian dilantik sebagai perdana menteri kelapan.

Sejak PH tumbang, Mahathir sering menyatakan bahawa dia menentang usaha untuk bekerjasama dengan 'kleptokrat' - merujuk kepada pemimpin Umno yang menghadapi kes mahkamah.

"Dari awal lagi saya yang jadi candidate sebab tu (Ahli parlimen Bersatu) Hamzah (Zainuddin) dapat statutory declaration daripada (Abdul) Hadi (Awang) dan semua.

"Semuanya sokong saya supaya bila dia (Hamzah) keluar, saya keluar sama, saya jadi PM parti yang saya lawan dulu. Saya tak nak.

"Sebab tu Muhyiddin (Yassin) tahu saya tak nak, dia tawar diri dia, dia jadilah (Perdana Menteri) tapi saya tak nak," katanya.

Mahathir turut ditanya Malaysiakini apakah dia sedia bekerjasama dengan PN jika individu terbabit tidak berada lagi dalam gabungan itu.

Ini selepas Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini memutuskan bahawa parti itu akan menamatkan kerjasama dengan Bersatu dan PN.

Umno juga dikatakan sedang mengadakan perbincangan dengan PKR, yang dipimpin oleh ketua pembangkang, Anwar Ibrahim. 

Zahid sebelum ini menafikan dakwaan itu, namun ia bercanggah dengan kenyataan  Anwar bahawa rundingan masih di peringkat awal.

"Ya, kalau dia orang tak ada. Tak apalah orang Umno boleh join Bersatu. Tak payah Umno lagi pasal Umno dapat nama buruk.

"Najib is the killer of Umno, Najib destroyed Umno. (Najib adalah pembunuh Umno. Najib menghancurkan Umno).

"Bapa dia tubuh, dia yang destroy. Dia sama sekali tidak malu kerana memusnahkan warisan bapanya" katanya.

Lihat Komen