malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Hasanah lepas kes pecah amanah AS$12.1 juta
Diterbitkan:  Apr 12, 2021 4:11 PM
Dikemaskini: 9:51 AM
ADS

Bekas ketua perisik, Hasanah Abdul Hamid dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) daripada pertuduhan dalam kes pecah amanah bernilai AS$12.1 juta melibatkan dana kerajaan.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan pendakwaan supaya tertuduh diberikan DNAA.

Prosiding hari ini pada mulanya ditetapkan untuk meneruskan perbicaraan peringkat pendakwaan terhadap Hasanah, bekas ketua pengarah Badan Perisikan Luar Malaysia (MEIO).

Untuk rekod, seseorang tertuduh yang dilepas dengan DNAA masih boleh lagi didakwa untuk kesalahan sama pada masa akan datang.

Ini berbeza jika tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pendakwaan kes.

Pada 25 Oktober 2018, Hasanah, 62, meminta dibicarakan terhadap satu pertuduhan jenayah pecah amanah berjumlah AS$12.1 juta (RM50.4 juta) melibatkan dana kerajaan ketika dia berkhidmat sebagai ketua pengarah Bahagian Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri ketika itu.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di pejabat Bahagian Penyelidikan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya, antara 30 April hingga 9 Mei 2018.

Dia didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan, yang menetapkan penjara maksimum 20 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

Menurut salinan keputusan ringkas yang tersedia untuk media hari ini, Hakim Ahmad Shahrir Mohd Salleh membenarkan permohonan DNAA kerana pernyataan pendakwaan mengenai perkembangan baru dalam kes tersebut.

"Dalam kes ini, DPP yang bijaksana, dalam permohonan untuk tidak mendakwa tertuduh lebih lanjut, menunjukkan bahawa tertuduh akan dibuat untuk menghadapi pertuduhan di kemudian hari.

“DPP yang bijaksana juga menjelaskan mengenai perkembangan baru yang ditemukan.

“Oleh itu, saya dengan ini memerintahkan supaya tertuduh dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) daripada pertuduhan,” kata Ahmad Shahrir.

Menurut dokumen mahkamah, pendakwaan terdiri daripada DPP Muhamad Iskandar Ahmad, Mohd Fairuz Johari, Ahmed Farid Ahmad Kamal, Nor Diana Nor Azwa, Nur Afiqah Zakaria, dan Mohammad Fakhrurrazi Ahmad Salim.

Dokumen itu juga menyatakan Hasanah diwakili oleh pasukan pembelaan yang terdiri daripada peguam Suhaimi Ibrahim, Hamdan Hamzah, Muhammad Ashraff Mohd Diah, Izwan Ariff Ibrahim, dan Azeezi Nordin.

[Baca berita asal]

Lihat Komen