malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Malangnya rakyat tak boleh berbuat apa-apa...'
Diterbitkan:  Apr 12, 2021 9:07 AM
Dikemaskini: 1:07 AM
ADS

Muhyiddin Yassin sepatutnya menggantikan mana-mana menteri atau timbalan menterinya yang tidak sesuai bertugas dalam kerajaan, kata ahli Majlis Tertinggi Umno Mohd Puad Zarkashi.

Mengulas mengenai insiden seorang timbalan menteri terlena semasa menghadiri majlis rasmi yang tular semalam, Mohd Puad berkata ada pengajaran "penting" boleh diambil daripada kejadian tersebut.

Misalnya kata Mohd Puad, nama timbalan menteri terbabit Eddin Syazlee Shith, tiba-tiba terkenal malah mungkin sehingga ke luar negara.

"Sepatutnya perdana menteri gugurkan segera menteri atau timbalan menteri yang tidak fit (cergas).

"Kerajaan PN (Perikatan Nasional) mesti buktikan anggota kabinet hari ini adalah kompeten dan sihat," katanya malam tadi.

Semalam perhatian orang ramai tertumpu kepada klip video memaparkan bagaimana Eddin Syazlee terlena dalam majlis khatam al-Quran dan Graduasi Huffaz di Seremban, Negeri Sembilan.

Ahli parlimen Kuala Pilah dari Bersatu itu hanya sedar selepas dikejutkan salah seorang pegawainya.

Menurut pegawai tugas khasnya timbalan menteri kerja raya itu keletihan, kurang sihat dan mengambil ubat namun tetap hadir bagi memenuhi undangan. Dia juga sudah meminta maaf atask kejadian tersebut.

“Untuk makluman Datuk Eddin Syazlee telah memohon maaf kerana tertidur pada acara tersebut. Beliau makan ubat sebelum ke majlis tersebut tetapi tetap menggagahkan diri untuk memenuhi jemputan," katanya dipetik Bernama

Menurut Mohd Puad, jika sebelum ini Pakatan Harapan (PH) dikecam sebagai kerajaan yang memungkiri janjinya, PN pula bakal dilabel sebagai pentadbiran yang memiliki kabinet "half past six” - istilah yang biasanya merujuk kepada kegagalan berfungsi dengan baik.

Bekas ahli parlimen Batu Pahat itu juga mendakwa ketika ini tindakan menteri PN melanggar prosedur operasi standard yang ditetapkan bagi mengawal penyebaran Covid-19 juga sudah menjadi perkara biasa.

"Malangnya rakyat tidak boleh berbuat apa-apa kerana Malaysia negara darurat. Parlimen pula tidak bersidang," katanya.

Lihat Komen