malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Elit PAS dah terpisah dari realiti akar umbi sendiri, kata Shahrir
Diterbitkan:  Apr 12, 2021 8:31 AM
Dikemaskini: 12:43 AM
ADS

Bekas menteri dari Johor, Shahrir Samad berkata berkata ada elit PAS kini sudah terpisah daripada realiti sehingga tidak menyedari ahli mereka di peringkat akar umbi mahukan muafakat dengan Umno diteruskan.

Kata Shahrir sentimen itu lahir daripada keikhlasan hati ahli dan pemimpin peringkat kedua-dua parti di peringkat bawahan.

Menurut bekas ahli parlimen Johor Bahru itu lagi ia dibuktikan dengan terbentuknya sebuah jawatankuasa Muafakat Nasional (MN) pertama di peringkat kawasan parlimen di Pahang.

Kenyataan itu dibuat merujuk penubuhan jawatankuasa terbabit di Maran, dirasmikan Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail malam tadi.

"Keikhlasan ke arah perpaduan dan muafakat ummah meletakkan pemimpin elit PAS yang berada di bilik-bilik berhawa dingin di Putrajaya, Publika dan Kuala Terenganu benar-benar jauh menyepi dari realiti akar umbi mereka sendiri," katanya dalam nada sindiran melalui hantaran di media sosial pagi ini.

Lontaran pandangan Shahrir itu dibuat ketika kerjasama Umno-PAS yang diikat piagam MN sebelum ini terus berada dalam keadaan tidak menentu.

Dalam perhimpunan agung tahunan Umno akhir bulan lalu parti itu berkata, masih ada waktu untuk PAS kembali ke pangkal jalan selepas mereka membuat keputusan sepihak menyertai Perikatan Nasional (PN).

Minggu lalu pula Presiden PAS Abdul Hadi Awang pula mengesahkan parti itu sudah memulakan perbincangan dengan Bersatu - yang dimusuhi Umno - dalam isu pembahagian kerusi pilihan raya.

Mahu semangat diterjemah

Abdul Hadi yang dilantik menjadi duta khas perdana menteri berkata rundingan tersebut hanya dijalankan dengan Bersatu, sekali gus membayangkan kencederungan mereka untuk lebih berpihak kepada PN berbanding MN yang disertai lebih awal.

Mengulas kenyataan tersebut Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menganggap keputusan berkenaan dibuat 'restu' mereka dalam MN.

“Sebarang keputusan yang dibuat dalam MN harus diterjemahkan pelaksanaannya dan jika ada sebarang perbincangan yang dibuat di luar kerangka MN, maka saya anggap ia bukan perbincangan yang dipersetujui bersama MN.

“Perbincangan di luar kerangka MN hanya diketahui oleh mereka yang terlibat sahaja,” katanya seperti dilaporkan Mingguan Malaysia.

Menurut Shahrir Pahang sekali lagi Pahang mendahului kerjasama di antara Umno dan PAS secara ikhlas bagi membentuk perpaduan ummah dan pada masa sama menolak kerakusan elit politik.

Kenyataan Shahrir itu dibuat dengan menyertakan hantaran dibuat Wan Rosdy mengenai pembentukan rasmi Jawatankuasa MN Parlimen Maran

Menurut Wan Rosdy Pahang berusaha sebaik mungkin untuk mengharmoni dan menjaga MN agar ia terus kekal.

Selain Maran katanya jawatankuasa sama dijangka akan dapat dibentuk di peringkat kawasan parlimen lain selepas ini.

Berdasarkan kepada gambar-gambar yang dimuat naik, pembentukan itu ditandatangani Ketua Umno Maran, Shahaniza Shamsuddin, serta Yang Dipertua PAS Maran Ramly Awang Abdul Rahman.

Wan Rosdy pula menjadi saksi kerjasama berkenaan bersama wakil pimpinan PAS. Bagaimanapun Pesuruhjaya PAS Pahang Rosly Abdul Jabar diwakili oleh orang lain.

"Sambil pucuk pimpinan PAS bertegas untuk berada dalam PN (menghadapi) PRU ke-15, di Pahang semangat MN bakal diterjemahkan kepada kerjasama politik di peringkat akar umbi antara Umno dan PAS," kata Shahrir.

 

Lihat Komen