malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Audio: Zahid perlu segera lapor polis elak spekulasi - Ismail
Diterbitkan:  Apr 10, 2021 8:41 AM
Dikemaskini: 12:46 AM
ADS

Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, perlu segera membuat laporan polis berhubung dakwaan isu rakaman audio perbualan antara beliau dan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagi mengelak sebarang spekulasi yang mungkin timbul daripada perkara berkenaan.

Naib Presiden Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ahli parti di peringkat akar umbi dilihat masih keliru dengan isu berkenaan, yang dilihat boleh memberi imej negatif kepada Umno.

“Kalau percepat laporan polis ia akan memadam kesangsian (dalam kalangan ahli akar umbi) kerana sekarang ada ahli yang kata ya (ia berlaku), ada ahli yang kata tidak.

"Kalau dah keluar dapatan (tulen atau tidak audio), tiada lagi isu berkaitan audio (selepas ini),” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Bangkit 15 di Melaka, semalam.

Baru-baru ini, satu rakaman audio perbualan antara dua individu dengan suara menyamai Ahmad Zahid dan Anwar, yang didakwa berlaku selepas Perhimpunan Agung Umno, tersebar di sosial media.

Ditanya mengenai gesaan segelintir pihak dalam Umno yang mahu Ahmad Zahid berundur daripada jawatan nombor satu parti berkenaan, Ismail Sabri berkata setiap ahli berhak untuk mengeluarkan pandangan masing-masing.

“Setiap ahli berhak untuk mengeluarkan pandangan masing-masing dan kita tak pernah halang ahli daripada bersuara. Dari dahulu lagi ahli bersuara. Apa pandangan mereka kita perlu dengar dan kita tak pernah tutup mulut sesiapa untuk bersuara,” katanya.

Ketua Polis Negara hari ini menasihatkan kedua-dua pemimpin tersebut untuk membuat laporan polis berhubung rakaman audio perbulan itu, sekiranya benar diri mereka difitnah.

- Bernama

Lihat Komen