malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
DAP dakwa 'tekanan atas' cuba gagalkan penyerahan sumbangan di sekolah
Diterbitkan:  Apr 8, 2021 3:46 PM
Dikemaskini: 9:07 AM
ADS

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paloh, Sheikh Umar Bagharib Ali menuntut jawapan berhubung pembatalan pada saat akhir program penyerahan sumbangan kepada kira-kira 200 pelajar, guru dan kakitangan yang diuji positif Covid-19 di Sekolah Kebangsaan (SK) Paloh 2, Johor baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan, katanya, dia dihubungi oleh seorang individu yang identitinya enggan didedahkan pada jam 11.30 malam tadi, merayu agar program penyerahan tersebut dibatalkan serta merta atas 'tekanan dari atas'.

Sehubungan itu, Sheikh Umar yang pernah menjadi exco kerajaan negeri Johor dari Mei 2018 sehingga Februari lalu, menuntut Menteri Kanan Pendidikan, Radzi Jidin memberi penjelasan agar ‘arahan atasan’ itu tidak mendatangkan kekeliruan dan menular di kawasan-kawasan lain.

"Barangan yang ingin diberikan merupakan sumbangan dari pejabat saya, pejabat Adun Mengkibol dan orang awam. Barangan sumbangan antaranya termasuklah beras, biskut dan facemask.

"Malam tadi, saya telah menghubungi pihak PIBG Sekolah untuk membuat serahan di SK Paloh 2 pada pagi ini.

"Namun sekitar jam 11.30 malam tadi juga, saya telah dihubungi oleh seorang individu yang identitinya enggan didedahkan, merayu agar program penyerahan tersebut dibatalkan serta merta.

"Individu tersebut mendakwa bahawa pihak sekolah menerima 'tekanan dari atas' sejak saya melawati sekolah tersebut pada 5 April 2021 lalu," kata Sheikh Umar.

Menurut Sheikh Umar, ketika itu dia mengambil inisiatif menyediakan makanan kepada para pelajar serta kakitangan yang bertugas dalam menjalankan ujian calitan Covid-19.

"Untuk rekod, saya hanyalah berhasrat membuat penyerahan sahaja bagi 200 barangan sumbangan ini kepada pihak sekolah.

"Selanjutnya, ia boleh disampaikan kepada setiap penerima melalui perantaraan pihak sekolah. Barangan sumbangan akan ditempatkan di sini (sekolah).

"Saya tiada sebarang rancangan untuk membuat penyerahan kepada setiap daripada 200 individu penerima. Ia diharapkan boleh diatur dengan lebih cermat oleh pihak sekolah memandangkan kawasannya yang lebih luas yang boleh melicinkan proses pematuhan SOP," kata Sheikh Umar dengan rasa kecewa.

Sheikh Umar juga melemparkan soalan kepada Radzi, sama ada benar terdapat halangan dikenakan kepada pihak sekolah daripada membenarkan wakil rakyat di kawasan menjalankan tugas-tugas kebajikan ataupun tidak.

“Ia mesti diberikan perhatian serius. Wakil-wakil rakyat tidak wajar dihalang untuk berkhidmat kepada rakyat, apatah lagi saat sukar berhadapan ujian pandemik Covid-19 ini, kata Sheikh Umar.

Malaysiakini sedang berusaha menghubungi sekolah dan pihak PIBG bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung perkara tersebut.

Lihat Komen