BERITA

Penjelasan Tuan Ibrahim berhubung sidang perubahan iklim cetus kritikan

7 Apr 2021, 3:43 pagi

Dikemaskini 4 hari lepas

A
+
A
-

Penjelasan Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man semalam berkenaan sebab Malaysia tidak diundang ke Sidang Kemuncak Pemimpin Berkenaan Iklim di Amerika Syarikat (AS) telah mengundang kritikan.

Ini selepas Bernama melaporkan Tuan Ibrahim sebagai berkata Malaysia tidak diundang kerana ia bukan termasuk dalam kategori negara yang terdedah kepada impak perubahan iklim yang ketara.

“Kecewa dengan Tuan Ibrahim. Rantau Asia Tenggara akan terjejas teruk. Kesannya sudah pun dapat dirasai.

“Kalau ikutkan logik anda (Tuan Ibrahim), kenapa Filipina pun tidak dijemput, mereka dilanda taufan lebih kuat tahun lepas,” kata Klima Action Malaysia, NGO yang memberi tumpuan terhadap isu perubahan iklim.

“Kemarau, gelombang haba, kerpasan lebat (hasil pemeluwapan wap air atmosfera ke bumi seperti hujan dan salji), banjir - kejadian cuaca ekstrem telah menyebabkan kerugian dan kehancuran di pelbagai sektor, seterusnya menjejaskan kehidupan orang di negara ini,” kata NGO itu lagi di Twitter.

Tuan Ibrahim mengulas soalan bekas menteri kewangan Lim Guan Eng berhubung kenapa Malaysia disisihkan daripada persidangan itu, yang dijadual berlangsung di Amerika Syarikat akhir bulan ini.

Tuan Ibrahim menjelaskan objektif utama persidangan itu adalah bagi menggalakkan negara ekonomi besar yang secara kolektif menyumbang kepada 80 peratus gas rumah hijau, untuk meningkatkan komitmen mencapai matlamat mengekalkan pemanasan global pada tahap kenaikan suhu maksimum 1.5 darjah Celcius.

Katanya, terdapat banyak negara yang menyerlah dalam agenda perubahan iklim seperti Sweden, Switzerland dan Thailand yang turut tidak dijemput.

Kementerian Alam Sekitar dan Air (Kasa) dalam penjelasan lanjut hari ini menyatakan: “Umum mengetahui bahawa semua negara di dunia adalah terkesan dengan perubahan iklim, termasuk Malaysia”.

Namun, kata Kasa, 40 negara yang dijemput ke persidangan tersebut mempunyai kriteria-kriteria tertentu, antaranya negara-negara maju yang menyumbang secara kolektif kepada pelepasan 80 pelepasan gas rumah kaca kepada dunia.

Katanya lagi, kenyataan Tuan Ibrahim secara khusus merujuk kepada kriteria yang menentukan sama ada sebuah negara itu diundang atau tidak.

“Komitmen negara-negara maju berkenaan penting supaya kenaikan suhu dunia dapat dikawal," katanya sambil menambah turut diambil kira adalah negara yang mengalami impak ketara akibat perubahan iklim.

Bulan lalu, satu kajian daripada sekumpulan universiti UK meramalkan penarafan kredit Malaysia menjadi antara yang paling teruk terjejas kerana perubahan iklim.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Komen