Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) memuji langkah kumpulan rock terkenal Coldplay yang menaja mesin memerangkap sampah bagi membersihkan sungai di Malaysia.
Pada masa sama persatuan itu berharap lebih banyak pihak tempatan turut memainkan peranan dalam meningkatkan kesedaran awam untuk mengelakkan sampah memasuki sistem sungai.
Presiden MNS Ahmad Ismail berkata, langkah itu boleh menjadi sebahagian usaha pendidikan dan penggalakan kesukarelawanan yang diperlukan dalam menangani masalah pencemaran sisa plastik di sungai.
"Kita banyak bercakap dan melihat dan kita perlukan lebih banyak tindakan.
"Jika kita benar-benar rasa pencemaran plastik sebagai isu penting, maka semua agensi perlu ke depan. Saya rasa sektor korporat juga boleh turut serta," katanya kepada Malaysiakini.
Coldplay sememangnya dikenali sering terlibat dalam usaha-usaha melibatkan alam sekitar. Tajaan kumpulan itu di Malaysia melibatkan mesin Interceptor 005 yang dibina NGO Belanda, The Ocean Cleanup.
Ia dijangka dapat mengumpul sehingga 100 tan sampah - terutama sisa plastik - setiap hari.
Ia merupakan mesin Interceptor kedua yang digunakan di negara ini setelah mesin pertama ditempatkan di Sungai Klang pada Ogos 2019.
Bagaimanapun bagi Ahmad, pendidikan terhadap orang awam berhubung kepentingan menghindarkan sisa plastik daripada masuk ke sungai tetap perkara paling utama.
"Kita perlu lebih fahamkan orang ramai mengapa plastik tak boleh dibiarkan masuk ke laut.
"Plastik diperlukan dalam kehidupan seharian dan selagi gaya hidup ini tidak berubah, kita perlu belajar bagaimana menguruskannya, seperti mewujudkan pusat kitar semula, perangkap sampah dan peraturan penggunaan yang ketat," katanya lagi.
Dia juga menggesa kerajaan melihat kembali keseluruhan proses berkaitan, seperti pengimportan plastik, kilang sisa plastik, tenaga yang digunakan serta pembuangan sisanya.
"Pembersihan saja tidak cukup jika kita terus import plastik, tidak menguruskan sisanya dengan baik dan tidak mendidik orang ramai," katanya lagi.
Menurut pengasas dan CEO The Ocean CLeanup Boyan Slat, Malaysia merupakan negara pertama yang menerima Interceptor 005.
"Tanpa tindakan, plastik akan lebih banyak berbanding ikan di lautan menjelang 2050. Ini menjadikan usaha kami cukup penting.
"Kami berbangga untu kmenaja Interceptor 005 yang akan memerangkap beribu tan sisa sebelum ia sempat masuk ke lautan," katanya dalam kenyataan baru-baru ini.