Umno akan memilih calon perdana menteri (PM) dan timbalan perdana menteri (TPM) sekitar Jun ini, menerusi pemilihan oleh ahli Umno di akar umbi, kata bekas setiausaha agung Umno Annuar Musa.
Kata ahli parlimen Ketereh itu, ramai pihak bertanya kepadanya tentang siapakah calon daripada Umno bagi dua jawatan penting itu menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-15 nanti.
“Perlembagaan Umno menetapkan tempoh memegang jawatan dihadkan kepada tiga tahun sahaja. Pemilihan yang lalu pada 30 Jun 2018. Tamat tempoh tiga tahun (ialah) pada Jun 2021.
“Sebagai parti yang kuat berpegang kepada peraturan, dan amat kuat bergantung pada suara akar umbi, kita tidak teragak-agak utk menyerahkan semula kepada akar umbi menentukan kepimpinan.
“Insya-Allah, calon PM dan TPM dari Umno akan diputuskan sekitar Jun ini menerusi pemilihan oleh ahli Umno sendiri.
“Umno akan memilih seorang presiden dan seorang timbalan presiden yang mempunyai segala sifat dan kelayakan yang sesuai memikul tugas sebagai PM (dan) TPM, apabila tiba masanya. Allah SWT menentukan segalanya,” katanya di Facebook.
Meskipun tidak menyebutkan sebarang nama, Annuar memuat naik gambar-gambarnya bersama beberapa tokoh Umno pada hantaran berkenaan.
Antaranya bersama Hishammuddin Hussein, Ismail Sabri Yaakob, Shahidan Kassim, Khairy Jamaluddin dan gambar terakhir, Annuar bersendirian bersama pegawai-pegawainya.
Bagaimanapun, tiada satu pun gambar presiden sekarang, Ahmad Zahid Hamidi dan timbalan presiden, Mohamad Hasan yang dikongsi Annuar.
Dari 1956 sehinggalah 2018, semua perdana menteri dan timbalan perdana menteri datang daripada Umno, dengan lazimnya, jawatan perdana menteri diisi oleh presiden Umno manakala timbalan perdana menteri diisi timbalan presiden Umno.
Pada 2018, Mahathir Mohamad yang pernah menjadi perdana menteri Umno sebelum itu, dilantik menjadi perdana menteri buat kali kedua, sebelum diganti Muhyiddin Yassin pada 2020, yang pernah menjadi timbalan perdana menteri ketika berada dalam Umno.
Umno yang baru menamatkan perhimpunan agungnya Ahad lalu, kini berdepan perbezaan pendapat antara tokoh utamanya.
Sebahagian mahu menangguhkan pemilihan parti, dan sebahagian menggesa agar pemilihan tetap diadakan seperti dijadualkan, antaranya untuk menyelesaikan perpecahan yang dikatakan berlaku di dalam Umno.