malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PSM pertikai dakwaan Empangan Nenggiri kurangkan tarif elektrik
Diterbitkan:  Mar 30, 2021 9:12 AM
Dikemaskini: 1:17 AM
ADS

Parti Sosialis Malaysia (PSM) mempertikai dakwaan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Mohd Amar Abdullah bahawa empangan hidroelektrik Nenggiri akan menurunkan tarif elektrik.

Sebaliknya, Koordinator Nasional Biro Alam Sekitar  dan Krisis Iklim PSM, Sharan Raj berkata, pembinaan empangan itu akan menyebabkan berlakunya kenaikan tarif elektrik.

"Menurut laporan Suruhanjaya Tenaga (ST), jumlah kapasiti stesen janakuasa berlebihan yang dikenali sebagai kadar rizab margin elektrik akan mencapai 43% pada tahun 2027 apabila Empangan Nenggiri mula beroperasi.

"Memiliki kadar rizab margin elektrik yang tinggi akan meningkat tarif elektrik kerana pemegang saham stesen janakuasa akan menerima bayaran tetap walaupun stesen janakuasa tidak digunakan," katanya dalam kenyataan semalam.

Sharan berkata, kadar rizab margin elektrik optimum yang disyorkan untuk Semenanjung Malaysia adalah 15 peratus manakala kadar rizab margin elektrik yang diluluskan oleh kerajaan persekutuan untuk tempoh tahun 2025-2029 adalah 25 peratus.

"Kenapa Kerajaan Perikatan Nasional (PN) melanggar dasar tenaga elektrik sendiri?" soalnya.

Justeru Sharan berkata dakwaan bahawa tarif elektrik akan turun dengan pembinaan empangan berkenaan adalah mengelirukan.

"Parti Sosialis Malaysia (PSM) menyeru pada kerajaan untuk membatalkan projek pembinaan Empangan Nenggiri yang memperkayakan kapitalis kroni tetapi membebankan rakyat dan memusnahkan kehidupan komuniti Orang Asli," katanya.

Sebelum ini lebih 3,000 penduduk Orang Asli manandatangani memorandum bantahan projek pembinaan empangan hidroelektrik berkenaan.

Mereka menggesa projek itu dibatalkan kerana akan memberi dampak buruk terhadap kelestarian alam, sumber penghidupan, perkampungan dan tanah adat Orang Asli.

Antara lain mereka mendakwa projek itu akan menenggelamkan 5,384 hektar kawasan hutan yang merupakan tanah adat, wilayah warisan dan kawasan rayau Orang Asli di Gua Musang.

Mohd Amar bagaimanapun mempertahankan projek empangan itu, dengan menyatakan ia akan mengurangkan kadar caj perkhidmatan elektrik.

Lihat Komen