malaysiakini logo
story-image
ADS

ULASAN | Banyak semboyan, isyarat dan teriakan perang terbit dari Persidangan Agung Umno (PAU) 2020 yang berakhir semalam. Acara kemuncak tahunan dua hari itu tertangguh akibat pandemik Covid-19.

Antara keputusan yang dilaporkan oleh media massa ialah Umno akan bertanding pilihan raya umum (PRU) akan datang secara bersendirian bawah panji-panji BN).

Serentak itu, pemimpin Umno yang menganggotai kerajaan Perikatan Nasional (PN) tajaan Bersatu diarah mengosongkan jawatan menjelang 1 Ogos ini atas andaian darurat akan ditamatkan dan parlimen dibubarkan.

Jadi tidak hairanlah ramai pemimpin dan perwakilan begitu ghairah membelasah Bersatu serta PAS dengan teruk sekali. Mereka memberi isyarat jelas bahawa mereka tidak memerlukan kedua-dua parti itu.

Ironinya, cita-cita Umno bertanding solo menggunakan jenama BN tidaklah tinggi. Ia berharap menang antara 70 hingga 100 kerusi Dewan Rakyat saja. Umno hanya mahu menjadi parti dominan dalam sebuah kerajaan campuran pasca-PRU.

Rasanya antara matlamat strategi itu ialah bagi memaksa PAS supaya turut meninggalkan PN dan kembali kepada Muafakat Nasional (MN). Tapi dengan penghinaan yang dihumbankan, rasanya harapan itu adalah tipis.

Kalau strategi “gempar” itu gagal membawa balik PAS ke pangkuan MN maka Umno akan berdepan dengan musuh lamanya itu di kerusi majoriti Melayu, khususnya di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Sekiranya PAS juga memilih untuk bertanding bersendirian maka akan berlakulah pertandingan empat penjuru di antara Umno-BN, PAS, Bersatu-PN dan Pakatan Harapan (PH).

Mahu lepas daripada beban

Ini belum mengambil kira kedudukan parti-parti dalam tajaan seperti Pejuang dan Muda. Walaupun kerajaan PN mungkin enggan meluluskan pendaftaran parti itu, namun mereka boleh bertanding sebagai calon bebas.

Perpecahan dalam Umno adalah realiti sehingga tercetus tuduhan khianat-mengkhianati, tali barut, parasit dan macam-macam kiasan lagi.

Kepemimpinan Ahmad Zahid Hamidi semakin tercabar walaupun beliau sendiri berlakon seolah-olah tidak ada apa-apa yang terjadi.

Realitinya ahli akar umbi yang menjadi barisan hadapan dalam kempen pilihan raya melihat Ahmad Zahid dan kluster mahkamah dalam parti itu sebagai beban.

Mereka mahu Mohamad Hasan segera mengambil alih supaya Umno terlepas daripada bebanan berkenaan.

Ada perwakilan yang mahu badan perhubungan negeri diberikan lebih banyak kuasa. Ia mungkin tercetus akibat 'pemberontakan' Shahidan Kassim di Perlis dan sikap mesra terhadap Bersatu-PN yang dipamerkan oleh pemimpin lain seperti Ismail Sabri Yaakob dan Annuar Musa.

Ia juga adalah manifestasi kemerosotan kepercayaan dan rasa hormat terhadap kepemimpinan pusat. Perwakilan juga mungkin terpengaruh dengan kuasa autonomi pada Umno Sabah.

Kesimpulannya, apa pun lagak yang dipamerkan di PAU tahun ini, hakikatnya Umno telah mengakui yang ia bukan lagi top dog politik Malaysia.

Dengan meletakkan matlamat memenangi 70 hingga 100 kerusi Dewan Rakyat, Umno-BN mengakui yang ia tidak mampu lagi memperoleh majoriti.


A KADIR JASIN ialah wartawan veteran, bekas penasihat media Dr Mahathir Mohamad dan pernah menjadi anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.

Tulisan ini asalnya disiarkan di media sosial dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen