malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Zahid ulangi gesaan parlimen bersidang: 'Selamat jika semua patuh SOP'
Diterbitkan:  Mar 21, 2021 1:37 PM
Dikemaskini: 5:37 AM
ADS

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengulangi gesaannya agar Parlimen bersidang semula kerana menurutnya sekarang sudah cukup selamat untuk persidangan diadakan.

"Sudah 25 hari berlalu sejak Yang di-Pertuan Agong bertitah Parlimen boleh bersidang semasa tempoh Ordinan Darurat berkuat kuasa.

"Namun sehingga hari ini masih tiada tarikh ditetapkan kerajaan untuk wakil rakyat kembali bersidang di Dewan Rakyat," kata Ahmad Zahid dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Jelas Ahmad Zahid, parlimen adalah forum untuk rakyat menyuarakan permasalahan melalui wakil mereka yang dipilih dalam pilihan raya selain merupakan badan perundangan Persekutuan yang memeriksa dasar-dasar kerajaan demi kepentingan negara.

Selain itu, katanya, parlimen juga berfungsi menjaga dasar pengasingan kuasa eksekutif, legislatif dan judisiari bagi mengelak penyalahgunaan kuasa akibat pemusatan kuasa.

"Justeru, saya berpandangan sudah tiba masa amalan demokrasi ini kembali dipulihkan juga dengan alasan 'sains dan data'," katanya.

Menegaskan gesaannya, Ahmad Zahid berkata, fungsi parlimen masih dapat diteruskan secara selamat termasuk secara maya seperti yang banyak dilakukan negara lain.

Selain itu, katanya, ramai ahli parlimen telah mengambil suntikan vaksin Covid-19 sejak program vaksinasi kebangsaan bermula.

Ahmad Zahid juga menyorot bahawa kebanyakan aktiviti lain termasuk persekolahan sudah pun dibenarkan beroperasi, maka tiada sebab parlimen terus ditutup.

Pengerusi BN itu turut menyentuh berkenaan Timbalan Speaker Parlimen Mohd Rashid Hasnon yang memuat naik kenyataan di Facebook pada 18 Mac tentang program larian maya.

"Ini bermaksud parlimen adalah sebuah kawasan yang selamat dan akan tetap selamat apabila semua yang hadir mematuhi SOP," katanya.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, pertama kali mempersoalkan bila Parlimen akan bersidang semula pada 3 Mac.

Pada waktu itu, dia menyorot bahawa tidak ada lagi negeri yang berada di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP) dan bahawa Agong telah mengatakan bahawa pengisytiharan darurat itu tidak bertujuan untuk menyekat Parlimen.

Oleh itu, katanya, persidangan Parlimen harus disambung semula, walaupun darurat sedang berlangsung.

PKP pertama kali dikuatkuasakan pada 13 Januari. Darurat diisytiharkan pada 11 Januari, tetapi hanya diumumkan sehari kemudian.

Pengisytiharan darurat, yang dijadual berakhir pada bulan Ogos, juga menyaksikan penggantungan Parlimen.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengatakan darurat diperlukan untuk memerangi wabak Covid-19 tetapi pengkritik menuduhnya cuba menyekat Parlimen setelah kehilangan majoriti di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, Muhyiddin kini memperoleh majoriti setelah tiga anggota parlimen PKR lain meninggalkan parti dan berpihak kepadanya.

Muhyiddin juga telah memberi jaminan bahawa dia akan mengadakan pilihan raya umum selepas Covid-19 berjaya ditangani.

Lihat Komen