malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kematangan bukan isu, anak muda 18 tahun terdedah isu politik - penganalisis
ADS

Usia dan isu kematangan bukanlah penghalang untuk golongan berusia 18 tahun mengundi dalam pilihan raya kerana mereka sering didedahkan dengan isu politik negara, menurut penganalisis politik.

Prof Rusdi Omar dari Universiti Utara Malaysia berkata yang menjadi kebimbangan adalah mereka yang tercicir dari pendidikan akan berkumungkinan dimanipulasikan oleh ahli-ahli politik menjelang pilihan raya umum (PRU) nanti.

“Saya tengok mereka ini (golongan umur 18 tahun), kita tak boleh nak kata yang mereka tak faham (isu politik) sebab mereka ni tiap-tiap hari dicanangkan dengan politik sebab orang politik di Malaysia ni selalu berpolitik mengatasi segala-galanya,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Mengulas mengenai kenyataan Yang Dipertua Dewan Negara Rais Yatim berhubung Undi-18, Rusdi berkata isu kematangan golongan 18 tahun tidak boleh dibandingkan dengan situasi negara maju kerana berpendapat bahawa pendidikan di negara tersebut tidak dicampuradukkan dengan politik.

“Orang yang jadi menteri pendidikan ni (sepatutnya) orang yang benar-benar nak educate (didik) pelajar. Kita (Malaysia) ni banyak berpolitik daripada nak beri pendidikan kepada masyarakat atau rakyat,” katanya.

Tambahnya, isu berhubung Undi-18 tidak perlu dijadikan isu apabila ia diluluskan di Parlimen.

“Jadi masalah (apabila) ketakutan pihak tertentu kemungkinan mereka ni boleh dipengaruhi dalam membuat keputusan.

“Kalau (soal) dipengaruhi dalam buat keputusan, umur yang 60, 70 pun boleh dipengaruhi,” katanya.

Yang Dipertua Dewan Negara Rais Yatim.

Sebelum ini, laporan portal dalam talian MalaysiaGazette memetik Rais berkata Undi-18 bukan setakat "menyusahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tetapi mengelirukan ibu bapa."

Ia turut dikritik oleh beberapa pihak seperti Ketua Penerangan BN Selangor Isham Jalil dan Naib Presiden MIC Sivarraajh Chandran.

Perlu diberi peluang

Undi-18 adalah langkah memberi ruang kepada rakyat Malaysia yang berusia 18 tahun dan ke atas untuk mengundi. Ia digerakkan oleh Pakatan Harapan (PH) ketika menjadi kerajaan.

Sebelum pindaan itu dibuat, umur minimum untuk pengundi di negara ini ialah 21 tahun.

Pada 3 November tahun lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan berkata pelaksanaan Undi-18 dan pendaftaran pemilih secara automatik dijangka dapat dilaksanakan selewat-lewatnya Julai tahun ini.

Bagaimanapun, kerajaan diminta menyatakan pendirian sebenar berhubung pelaksanaan Undi-18 selepas Rais dilaporkan berkata bahawa pelaksanaan Undi-18 tidak dapat diteruskan walau rang undang-undang mengenainya sudah diluluskan.

Prof Awang Azman Awang Pawi.

Sementara itu, Prof Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata mereka yang berusia 18 tahun perlu diberi peluang untuk membuat keputusan dalam PRU kerana undi perlu meliputi pelbagai peringkat usia bagi menilai dan mengukur kejayaan kerajaan yang ada dalam pelbagai perspektif.

“Dalam konteks di Malaysia, kepercayaan perlu ada untuk meyakini bahawa mereka ini cukup matang untuk berbuat demikian.

“Ini juga gambaran kejayaan sistem pendidikan yang telah berlangsung lama di negara ini yang menerapkan aspek patriotik dan kesedaran hak sebagai warga negara yang bertanggungjawab,” katanya sambil menyifatkan kenyataan Rais itu tidak selaras dengan perkembangan dunia kini.

Menyentuh aspek peranan sistem pendidikan dalam Undi-18, Awang Azman berkata sistem pendidikan sedia ada mampu membuatkan golongan tersebut matang dalam membezakan serta membuat keputusan dalam PRU nanti.

Faktor itu juga dipengaruhi oleh ibu bapa, saudara mara dan rakan sekeliling dalam menilai baik buruk dalam melakukan keputusan, katanya.

“Dalam senario terkini mereka yang berusia 18 tahun sewajarnya sudah ada tanggungjawab untuk ambil tahu mengenai situasi politik negara atau benar-benar faham apa yang terjadi kerana pendidikan di sekolah dan rumah serta keluarga penting dalam membina literasi politik yang lebih baik.

“Jika berlaku kegagalan (tidak yakin dalam undi muda matang), maka ia merupakan kegagalan sistem pendidikan, kegagalan pemimpin politik memainkan peranan mereka dan juga kegagalan institusi masyarakat termasuk keluarga untuk memberikan kesedaran tanggungjawab kepada pengundi muda,” katanya.

Manakala Prof Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia pula berpendapat kematangan di peti undi tidak terhad kepada hal politik semata-mata tetapi merangkumi pelbagai aspek.

“Apabila mereka membuat keputusan, keputusan itu bukan berlandaskan ideologi politik mereka semata-mata tetapi berlandaskan kepada kematangan mereka berfikir dalam hal dunia umpamanya,” katanya.

Bagaimanapun, dia berkata kenyataan Rais tidak boleh dipakai tetapi jika diukur dari kematangan peringkat umur, ia boleh dipersoalkan.

“Kita tahu bahawa umur 18 tahun itu belum lagi bekerja, baru nak masuk universiti dan kematangan mereka berfikir tu boleh dipersoalkan kerana mereka dikatakan belum menempuhi alam pekerjaan iaitu alam sebenarnya,” katanya. 

Lihat Komen