malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Denda RM10,000: Umno, PH pula tawar bantuan guaman percuma
Diterbitkan:  Mar 15, 2021 9:23 PM
Dikemaskini: 1:23 PM
ADS

Umno, PKR dan Amanah tampil menawarkan bantuan khidmat nasihat guaman secara percuma bagi mereka yang dikenakan denda RM10,000 kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan (PKP).

Ini selepas DAP menawarkan perkhidmatan itu semalam.

Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki berkata inisiatif itu dilakukan atas dasar prihatin terhadap keluh-kesah rakyat terutamanya apabila rata-rata daripadanya sedang berdepan dengan cabaran meneruskan kelangsungan hidup.

“Walaupun secara prinsipnya, Pemuda Umno menyokong usaha kerajaan memperketatkan SOP untuk membendung penularan Covid-19, namun jumlah kompaun yang terlalu tinggi hakikatnya amat membebankan rakyat lebih-lebih lagi di kala mereka sudah sedia terbeban dengan pelbagai kepayahan bagi meneruskan kelangsungan hidup.

“Sehubungan dengan itu, pemuda Umno menawarkan khidmat nasihat guaman secara percuma kepada orang ramai yang dikompaun dan merasakan diri mereka dianiayai akibat tindakan penguatkuasaan SOP PKP atas kesalahan-kesalahan kecil seperti tidak memakai pelitup muka dan sebagainya,” katanya pada satu kenyataan hari ini.

Bermula 11 Mac lalu, kerajaan telah menaikkan jumlah kompaun ingkar SOP daripada RM1,000 kepada RM10,000.

Ini berikutan Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 diwartakan mulai 11 Mac.

Bagaimanapun, Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador berkata, kadar kompaun itu boleh dikurangkan dengan memohon rayuan di pejabat kesihatan daerah.

Sementara itu, Asyraf hari ini menjelaskan tawaran bantuan perundangan Umno itu meliputi nasihat guaman dan representasi peguam kepada Kementerian Kesihatan untuk membuat rayuan pengurangan kompaun bagi kesalahan yang melibatkan PKP.

Individu yang dikompaun boleh juga menghantar maklumat kompaun dan khidmat nasihat perundangan melalui dalam talian.

Antara lain ia menyediakan talian hotline untuk orang ramai memberikan maklum balas di; 013-7354116 dan 013-7354117.

Terdahulu, Amanah melalui Presidennya, Mohamad Sabu turut mengumumkan parti itu menawarkan khidmat bantuan guaman percuma bagi rayuan kompaun RM10,000 tersebut.

“Biro Undang-Undang Parti Amanah Negara (Kanun) dengan ini menawarkan nasihat guaman percuma kepada rakyat yang ingin merayu terhadap kompaun berjumlah RM10,000 yang dikenakan kerana melanggari SOP sempena pelaksanaan PKP/PKPB/PKPP ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Mereka yang ingin mendapatkan nasihat guaman percuma tersebut boleh menghubungi talian 013-6680072 (Hazwan) atau 011-31240378 (Marwan).

Jangan pilih kasih, beza darjat

Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah Wee Tse hari ini turut menawarkan perkhidmatan serupa.

Katanya, hukuman yang dikenakan kepada rakyat biasa itu perlu dikenakan kepada wakil rakyat kerajaan juga jika mereka didapati bersalah.

Puah (gambar, bawah) yang juga Adun Bukit Batu turut menggesa supaya tiada sikap pilih kasih atau perbezaan darjat antara rakyat biasa dan menteri di sisi undang-undang.

“Justeru, demi memastikan nasib rakyat terbela, saya dan pasukan peguam dari Parti Keadilan Rakyat Negeri Johor menawarkan khidmat guaman pro-bono (percuma) kepada semua rakyat negeri Johor yang dikompaun dibawah Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021,” katanya pada satu kenyataan.

Semalam, DAP berkata pihaknya akan menawarkan bantuan khidmat guaman percuma kepada individu yang dikenakan denda RM10,000 atas kesalahan melanggar SOP.

Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng yang mengumumkan hal tersebut turut mengkritik kerajaan kerana meminda undang-undang berkaitan denda tersebut tanpa melalui parlimen.

Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Takiyuddin Hassan menjelaskan kerajaan akan memperincikan kesalahan yang boleh dikenakan kompaun RM10,000 itu.

Katanya perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat Covid-19 esok.

“Kita akan terus kekalkan ordinan kompaun RM10,000 kepada individu dan RM50,000 kepada syarikat tetapi kerajaan memberi jaminan untuk selesaikan pelaksanaannya termasuk pengeluaran saman kepada mereka yang melakukan kesalahan,” katanya hari ini.

Lihat Komen