malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Sultan Johor batal majlis pecah tanah Taman Solar Sultan Ibrahim
Diterbitkan:  Mar 9, 2021 8:48 PM
Dikemaskini: 12:48 PM
ADS

Kurang dari 10 hari selepas membuat pengumuman mengenai projek tenaga solar di Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini mengumumkan cadangan majlis pecah tanah untuk pembangunan itu dibatalkan.

Ia berlaku dua minggu sebelum majlis tersebut berlangsung iaitu pada 23 Mac ini di Pengerang. Sultan Ibrahim sendiri dijadual berangkat ke majlis tersebut.

Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini baginda bertitah ia tidak dapat dijalankan kerana Putrajaya belum memberikan sebarang maklum balas mengenai cadangan projek Taman Solar Sultan Ibrahim itu.

"Saya nampak tidak ada alasan mengapa kerajaan persekutuan tidak boleh memberikan peluang kepada Johor untuk menjadi pengeluar tenaga elektrik yang mesra alam ini.

"Kita ada kawasan tanah yang sesuai, pembangunan yang pesat di negeri ini dan permintaan daripada negara jiran, menjadikan Johor sebagai lokasi yang paling strategik" titah baginda.

Pada 28 Feb lalu media melaporkan Johor bakal menjadi negeri pengeluar utama tenaga solar di rantau Asia Tenggara apabila Taman Solar Sultan Ibrahim itu siap - dijangka menjelang 2023.

Projek bernilai RM1.4 bilion dan berkapasiti 450 megawatt berkenaan diumumkan sendiri oleh Sultan Ibrahim.

Titah baginda Taman Solar Sultan Ibrahim itu adalah projek pelaburan swasta berskala besar pertama diperolehi Johor pada tahun ini dan ia adalah atas usaha baginda sendiri.

Titahnya projek itu juga seiring dengan Pelan Pembangunan Mapan Johor 2030 yang mengutamakan kelestarian alam sekitar dalam pembangunan ekonomi serta kemakmuran hidup rakyat.

"Ia akan turut memberi impak kepada pembangunan ekonomi negeri dengan penawaran kerja kepada pelbagai peringkat kerana ia juga akan menjadi sistem penyimpanan tenaga solar terbesar di rantau ini apabila beroperasi sepenuhnya menjelang 2023," titahnya di Facebook.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen