malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Saifuddin: Program sulung J-kom mengenai komunikasi OKU
ADS

Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah berkata program sulung Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) yang akan dilaksanakan mengenai komunikasi untuk orang kelainan upaya (OKU).

J-Kom ialah penjenamaan semula unit propaganda politik Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa).

Menjelaskan perbezaan dengan Jasa, kata Saifuddin, J-Kom bukan bersifat politik.

"(J-kom) tidak akan bersifat politik, itu sangat penting. Ia akan bersifat berbilang kaum, dan akan dibentuk pada peringkat daerah, bukan kawasan parlimen.

"Ini lebih sesuai untuk sebuah agensi kerajaan," katanya dalam wawancara bersama media pada Rabu, sempena ulang tahun pentadbiran Perikatan Nasional berkuasa.

Menteri itu berkata J-Kom masih belum beroperasi, tetapi akan segera mengiklankan kekosongan jawatan.

"Perkara pertama yang anda akan dengar daripada J-Kom adalah mengenai komunikasi untuk orang kelainan upaya.

"Kami tidak mempunyai juru bahasa isyarat bertauliah yang cukup.

"Kami mahu setiap daerah memiliki seorang juru bahasa isyarat ... sehingga setiap kali ada majlis kerajaan, akan ada juru bahasa isyarat," katanya.

Menurut Saifuddin, jurubahasa itu tidak perlu menjadi kakitangan sepenuh masa  J-Kom, tetapi sekurang-kurangnya dapat dilatih oleh jabatan itu.

Katanya, antara keluhan yang diterimanya, juru bahasa isyarat di televisyen mempunyai ruang yang terlalu kecil untuk mereka.

"Sekiranya anda tidak dapat mendengar apa yang dikatakan oleh seseorang, anda dapat menambah volume, tetapi jika anda tidak dapat melihat jurubahasa anda tidak boleh membesarkannya," katanya.

Saifuddin berkata RTM dan Bernama TV telah mengambil langkah untuk membetulkannya dan memperuntukkan lebih banyak ruang skrin untuk jurubahasa isyarat.

Sementara itu, dia berkata J-Kom juga akan memiliki unit komunikasi orang kelainan upaya - yang akan diketuai dan dipimpin oleh orang kelainan upaya.

"Kami sedang menyenarai pendek calon," katanya.

Menurutnya lagi, unit ini akan berkhidmat kepada seluruh Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

J-Kom sebelum ini dilanda kontroversi apabila mendapat peruntukan RM85.5 juta bawah Belanjawan 2021 atas nama lama Jasa.

Peruntukan ini empat kali ganda yang diberikan kepada Jasa semasa era BN.

Sebelum belanjawan dibahaskan di Dewan Rakyat, pengkritik termasuk bekas perdana menteri Najib Razak mengatakan belanjawan baru itu agak berlebihan.

Selepas bantahan, peruntukan untuk J-Kom yang dijenamakan semula itu dikurangkan menjadi RM40.5 juta.

Saifuddin memberitahu Dewan Rakyat J-Kom bertujuan untuk komunikasi akar umbi.

“Kaedah yang digunakan ialah dengan cara membangunkan komuniti, khususnya di peringkat akar umbi, yang mengamalkan budaya ilmu, berkemahiran digital dan menghayati makna dan fokus patriotisme dengan menggunakan pendekatan ‘penghakupayaan komuniti’,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 di parlimen pada 25 Nov 2020. 

[Baca laporan asal]

Lihat Komen