malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Puad padam catatan FB lepas Muhyiddin peroleh perintah injunksi
Diterbitkan:  Mar 6, 2021 9:22 AM
Dikemaskini: Aug 2, 2021 4:28 AM
ADS

Mohd Puad Zarkashi memadam catatan Facebooknya selepas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin memperoleh perintah injunksi interim pada 1 Mac lalu untuk menghalang Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno itu daripada membuat kenyataan berunsur fitnah.

"Saya telah membaca beberapa artikel di media sosial berkenaan dengan perintah Injunksi (sebelah pihak) yang diperolehi oleh Tan Sri Muhyiddin Md Yassin terhadap saya.

"Saya telah mematuhi perintah Mahkamah dan memadamkan pos tersebut pada 4 Mac 2021," katanya dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, Mohd Puad berkata dia telah mengarahkan peguam untuk memfailkan permohonan bagi ketepikan perintah injunksi ex parte tersebut dengan serta merta.

"Saya juga menuntut ganti rugi daripada Tan Sri Muhyiddin Md Yassin.

"Saya yakin kepada sistem kehakiman negara kita dan saya akan membela diri saya di hadapan mahkamah," katanya.

Mohd Puad sebelum ini menerima surat tuntutan daripada peguam Muhyiddin berhubung tindakan saman sebanyak RM10 juta terhadapnya.

Surat tuntutan itu menuntut permohonan maaf dan mendesaknya memadam satu hantaran di media sosial.

Hantaran itu mendakwa layanan berbeza ke atas rakyat berhubung prosedur operasi standard dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan Covid-19.

Catatan FB itu dimuat naik pada 9 Februari.

Bekas ketua pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) itu sebelum ini enggan memohon maaf kepada Muhyiddin dan sebaliknya memilih untuk ke mahkamah.

Lihat Komen