malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
AGC bantah permohonan Anwar cabar isytihar darurat
ADS

Mahkamah tiada kuasa untuk mendengar permohonan kebenaran semakan kehakiman oleh ketua pembangkang Anwar Ibrahim bagi mencabar keabsahan nasihat Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin berkenaan darurat, kata Pejabat Peguam Negara (AGC).

Peguam kanan persekutuan, Ahmad Hanir Hanbaly mengemukakan bantahan AGC semasa prosiding di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur petang ini.

Selain Anwar, turut membuat permohonan serupa ialah bekas pemimpin Umno, Khairuddin Abu Hassan; tiga wakil rakyat pembangkang termasuk Salahuddin Ayub dari Amanah; dan beberapa NGO yang diketuai Bersih.

Ia berhubung nasihat yang diberikan Muhyiddin kepada Agong untuk mengisytiharkan darurat dengan tujuan yang dinyatakan bagi memerangi penyebaran Covid-19 di negara ini.

Pendengaran hari ini diadakan di hadapan hakim, Mariana Yahya.

Ketika dihubungi selepas prosiding petang ini, Hanir yang mewakili Muhyiddin berkata Perkara 150 (6) dan (8) Perlembagaan Persekutuan menyatakan mahkamah tidak mempunyai hak untuk mendengar cabaran undang-undang berkaitan dengan pengisytiharan darurat oleh Agong.

"AGC membantah permohonan pemohon (Anwar) (untuk kebenaran memulakan semakan kehakiman).

"Antara sebab utama bantahan adalah bahawa semakan kehakiman ini dihalang oleh Perkara 150 (6) dan 150 (8) Perlembagaan Persekutuan.

"Mahkamah menetapkan 11 Mac untuk pihak-pihak ini mengemukakan hujah balas," kata Hanir.

Katanya, mahkamah akan menetapkan tarikh untuk membuat keputusan mengenai permohonan Anwar.

Ketika dihubungi, peguam Anwar, Harshaan Zamani berkata mereka mengemukakan hujah balas di hadapan hakim bahawa peruntukan Perkara 150 (6) dan (8) tidak berlaku dalam situasi melibatkan kesahihan nasihat perdana menteri kepada Agong.

"Kami berhujah bahawa Perkara 150 (6) dan (8) tidak meliputi isu keabsahan nasihat PM (Perdana Menteri) pada dasarnya," katanya.

Peguam itu berkata, mereka akan mengemukakan lebih banyak hujah berhubung perkara itu dalam keterangan bertulis yang akan dikemukakan di mahkamah pada 11 Mac.

Harshaan mewakili Anwar semasa prosiding hari ini, manakala Hanir bersama SFC S Narkunavathy mewakili Muhyiddin.

Dalam permohonan difailkan Anwar pada 25 Jan lepas, dia memohon deklarasi bahawa keputusan yang diberikan oleh jemaah menteri, diketuai Muhyiddin untuk menasihati Al-Sultan Abdullah untuk memasyhurkan Seksyen 14 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang telah mengakibatkan penggantungan parlimen adalah bertentangan dengan undang-undang, tidak berperlembagaan, tidak sah, tidak mempunyai sebarang kesan dan ultra vires.

Anwar memohon deklarasi bahawa Seksyen 14 Ordinan Darurat itu tidak konsisten dengan Perkara 150 (3) dan (5) Perlembagaan Persekutuan serta tidak berpelembagaan.

Dia juga memohon perintah mandamus untuk memerintahkan kedua-dua responden menasihatkan Al-Sultan Abdullah supaya membatalkan Seksyen 14 Ordinan Darurat berkenaan.

Ahli Parlimen Port Dickson itu juga memfailkan permohonan untuk merujuk empat persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan berhubung isu sama (darurat).

Bagaimanapun, permohonan ini belum dapat didengar oleh Mariana kerana dia perlu mendengar permohonan kebenaran semakan kehakiman oleh Anwar terlebih dahulu.

[Baca berita asal]

Lihat Komen