malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
MP: Mustahil penerbit kecil boleh sederhanakan semua komen
Diterbitkan:  Mar 2, 2021 10:10 AM
Dikemaskini: 2:10 AM
ADS

Keputusan Mahkamah Persekutuan yang mendapati Malaysiakini bersalah menghina mahkamah menerusi komen pembacanya memberi beban kepada penerbit kecil untuk menyederhanakan komen dengan berkesan.

Menurut Ahli Parlimen Sungai Buloh R Sivarasa, kaedah paling logik untuk menangani isu-isu berkaitan komen adalah melalui sistem penandaan bendera dan pemadaman seperti yang diamalkan secara meluas oleh platform media sosial, terutamanya oleh Facebook dan Twitter.

Untuk menyederhanakan setiap komen, katanya, menjadi tugas berat bagi banyak penerbit kecil.

"Penyedia hos atau platform seperti Malaysiakini harus meneliti setiap komen, yang sangat mustahil bagi banyak penerbit, laman web kecil dan seumpamanya.

"Laman sosial Facebook setiap orang dan halaman ahli politik kena bertanggungjawab terhadap komen tersebut, dan ini tidak betul," kata Sivarasa.

"Anda harus membuat jabatan besar untuk menyiasat atau menyaring setiap komen atau (pilihan lain) dengan menghapus bahagian komen, tetapi tindakan itu akan menjadi langkah mundur.

"Facebook dan Twitter beroperasi dengan pendekatan tanda bendera dan penghapusan. Saya fikir ini cara paling logik dan adil untuk menangani masalah tersebut," katanya.

Sivarasa berkata demikian semasa sesi perbincangan yang disiarkan di Facebook Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) yang bertajuk "Penghinaan Mahkamah: Beban Komen dan Portal dalam talian" .

Bulan lalu, Malaysiakini didenda oleh Mahkamah Persekutuan sebanyak RM500,000 atas dakwaan menghina mahkamah menerusi komen pembaca di portal berita itu.

Prosiding penghinaan terhadap Malaysiakini dan ketua pengarangnya Steven Gan dimulakan oleh Peguam Negara Idrus Harun berhubung komen yang dibuat oleh pembaca di laman web berita itu.

Mahkamah Persekutuan bagaimanapun tidak menjatuhkan hukuman terhadap Gan. Keputusan majoriti 6-1 itu tidak boleh dirayu.

Gan, yang juga ahli panel dalam perbincangan itu berkata Malaysiakini sedang mempertimbangkan untuk bereksperimen dengan sistem dua tahap untuk bahagian komennya.

"Pada tahap pertama, ini untuk pengulas yang mempunyai rekod prestasi bertanggungjawab dalam komen mereka. Mereka dapat menghantar komen yang tidak akan disederhanakan.

"Bagi tahap kedua, ini untuk orang-orang yang kita tidak kenal, jadi mereka harus melalui penyederhanaan. Kita mungkin melantik seorang moderator untuk memantau dan menapis komen terlebih dahulu sebelum dimuat naik," katanya.

Gan menambah: "Saya rasa ini cara terbaik bagi kami untuk mencapai keseimbangan antara hak kami dalam kebebasan bersuara dan banyak undang-undang berbentuk sekatan yang kita miliki di Malaysia."

[Baca laporan asal]