malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Saya cuti 55 hari, ziarah anak, isteri di New Zealand'
Diterbitkan:  Mar 1, 2021 12:06 PM
Dikemaskini: 5:42 AM
ADS

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Edmund Santhara Kumar tampil menjelaskan berhubung keberadaannya di New Zealand susulan dakwaan yang mempersoalkan tindakannya itu.

Menurutnya, dia memohon cuti selama 55 hari bekerja melalui menteri dan mendapat kelulusan perdana menteri pada 3 Disember lalu.

"Setelah memastikan setiap prosedur dipatuhi dan semua kelulusan diperolehi, pada 23 Disember 2020, selepas menghadiri mesyuarat saya ke luar negara dan menjalani kuarantin di New Zealand bermula daripada 24 Disember 2020 hingga 9 Januari 2021.

"Tujuan saya keluar negara bagi melawat anak-anak saya di New Zealand, khususnya anak saya yang sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang. Selain itu, sebagai bapa yang bertanggungjawab saya perlu bertemu dengan anak yang berusia sembilan tahun bagi menjalankan tanggungjawab sebagai bapa sepanjang cuti rehat tersebut setelah hampir setahun tidak berjumpa.

"Di samping itu, saya juga perlu melawat isteri yang mengalami masalah kesihatan. Sebagai tambahan, upacara anak saya yang berumur sembilan tahun untuk menerima holy communion juga tidak dapat saya hadiri kerana sentiasa sibuk dengan tugas sebagai timbalan menteri dan ahli parlimen," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Terdahulu, anggota Parlimen Batu, P Prabakaran tampil mempersoal dan meminta penjelasan Santhara susulan laporan media yang mendakwa dia berada di negara itu sejak Dis tahun lalu.

Prabakaran juga memetik laporan Sarawak Report yang mendakwa Santhara tidak pulang ketika Segamat dilanda banjir pada bulan lalu dan dikatakan telah kembali ke Malaysia sebelum Hari Wilayah pada 1 Februari, tetapi telah pergi semula ke sana selepas itu.

Santhara juga berkata, komitmen terhadap tugas dan tanggungjawab sebagai timbalan menteri Wilayah Persekutuan dan ahli Parlimen Segamat sentiasa menjadi keutamaan dalam memastikan kebajikan rakyat di Wilayah Persekutuan dan Segamat terus terpelihara.

Malah jelasnya, kehadirannya ke persidangan Dewan Rakyat juga dengan rekod kehadiran 100 peratus di samping menghadiri persidangan Dewan Negara untuk penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 pada 22hb Disember 2020.

"Selain itu setelah dilantik sebagai timbalan menteri bermula pada 10 Mac 2020, saya tidak pernah memohon cuti rehat, tidak pernah bercuti pada hujung minggu ataupun cuti peristiwa mahupun cuti perayaan, atau mendapatkan cuti sakit sepanjang tempoh tersebut.

"Ini bagi memastikan saya sentiasa dapat memberikan khidmat terbaik kepada rakyat dalam mendepani setiap isu berkaitan pandemik Covid-19 dan isu-isu rakyat di Wilayah Persekutuan dan Segamat sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan pada tahun 2020," kata Santhara yang turut menafikan dakwaan berulang-alik pulang ke Malaysia.

Kata Santhara, sebagai timbalan menteri dan ahli Parlimen, dia sentiasa menjunjung tinggi setiap arahan dan peraturan bagi pelantikannya dan mengikuti semua proses dan prosedur yang ditetapkan.

Permohonan cuti rehat itu katanya disokong Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa dan kelulusan perdana menteri, berdasarkan kelayakan cuti rehatnya seperti yang ditetapkan dalam peraturan pelantikan jawatan berkenaan.

"Selain itu, saya juga diluluskan cuti tanpa gaji bagi cuti yang melebihi kelayakan cuti rehat saya," katanya yang turut menjelaskan pemergian ke luar negara itu mendapat kelulusan Jabatan Imigresen Malaysia.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen