malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PH gesa Muhyiddin segera nasihat Agong untuk sidang Parlimen
Diterbitkan:  Feb 24, 2021 6:20 PM
Dikemaskini: 10:20 AM
ADS

PH menggesa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin segera menasihati Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah untuk memanggil sidang Parlimen.

Ia susulan titah Sultan Abdullah hari ini bawah Parlimen boleh bersidang dalam tempoh darurat, pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai atas nasihat perdana menteri.

Gesaan PH itu dinyatakan Presiden PKR Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dalam kenyataan bersama.

"Majlis Presiden PH menjunjung kasih ke atas Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong atas pandangan yang dizahirkan hari ini bahawasanya Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuatkuasa pada tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat Perdana Menteri.

"Kami akan mendukung penuh hasrat Seri Paduka Baginda untuk memulihkan kedudukan Parlimen dalam memainkan peranan penting dalam Perlembagaan Malaysia,

mengetengahkan isu serta masalah yang dihadapi rakyat dalam usaha membendung pandemik Covid-19, serta merencana langkah-langkah bagi menghidupkan semula ekonomi negara.

"Perdana Menteri perlu menjunjung titah dan segera menasihati Seri Paduka Baginda untuk memanggil sidang Parlimen seawal bulan Mac sepertimana diperkenan Tuanku di dalam Takwim Parlimen sebelum ini," kata PH.

Terdahulu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Sultan Abdullah hari ini berkenan menerima menghadap Speaker Dewan Negara Senator Dr Rais Yatim dan Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun di Istana Negara.

Dalam sesi itu, menurut Ahmad Fadil, Sultan Abdullah menegaskan Malaysia mengamalkan sistem demokrasi yang berteraskan prinsip keluhuran Perlembagaan, dan setiap cabang pentadbiran, iaitu eksekutif, kehakiman dan Parlimen harus sentiasa akur kepada prinsip tersebut.

"Perkara ini (persidangan Parlimen) termaktub di dalam sub perenggan 14(1)(b) Ordinan Darurat (KuasaKuasa Perlu) 2021 yang menyatakan bahawa Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat perdana menteri.

"Oleh hal yang demikian, tanggapan sesetengah pihak bahawa pelaksanaan proklamasi darurat menghalang Parlimen untuk bersidang adalah tidak tepat.," katanya dalam kenyataan.

Mengulas titah tersebut, PH berkata pihaknya sememangnya berpendirian bahawa cabang eksekutif dan kehakiman boleh berfungsi ketika darurat.

"Parlimen juga perlu terus memainkan peranan dalam memastikan urustadbir kerajaan terjaga dan proses semak imbang diteruskan," kata PH lagi.

Pada Januari lalu, Muhyiddin mengumumkan proklamasi darurat yang menurutnya bagi membendung penularang wabak Covid-19, bagaimanapun sesetengah pihak mendakwa ia bagi mengekalkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) setelah hilang sokongan majoriti di Parlimen.

Pada bulan lalu, Anwar yang juga ketua pembangkang mendakwa antara 114 hingga 115 ahli Parlimen tidak setuju dengan penguatkuasaan darurat dan surat telah dihantar kepada Agong untuk menimbang semula perkara itu.

Penguatkuasaan darurat dijangka tamat pada Ogos ini. Sebuah jawatankuasa khas telah ditubuhkan yang antara lain berperanan menasihati Agong berhubung tarikh penamatannya.

Lihat Komen