malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Syarikat mahu usahakan tanah lepas menang saman ke atas Orang Asli
ADS

Sebuah syarikat yang baru-baru ini memenangi saman di mahkamah membabitkan pertikaian tanah dengan sekumpulan Orang Asli di Bera, merancang memasuki kawasan tersebut bagi mengusahakan penanaman kelapa sawit minggu depan.

Syarikat itu, bagaimanapun menjangkakan penduduk Kampung Orang Asli Lubuk Perah akan menyekat mereka daripada memasuki kawasan berkenaan berdasarkan situasi yang berlaku sebelum ini dengan penduduk kampung.

Pada sidang media yang diadakan di Kuala Lumpur hari ini, peguam yang mewakili firma itu, Nor Hisham Muhammad berkata, penduduk kampung melakukan pelbagai usaha, termasuk membina sekatan dan merobohkan jambatan, untuk menghentikan anak guamnya daripada memasuki tanah berkenaan.

"Kami tidak dapat memasuki kawasan berkenaan sebelum ini kerana mereka memasang halangan dan datang dengan parang dan semua jenis senjata.

"Kami tidak mahu menimbulkan kekecohan dan rusuhan, jadi kami menggunakan saluran undang-undang dan kami telah mendapat perintah mahkamah," kata Nor Hisham.

Katanya, atas sebab keselamatan, anak guamnya merancang memasuki kawasan tanah berkenaan bersama dengan pihak polis, pegawai pejabat tanah dan pegawai mahkamah.

"Kami menjangkakan akan masuk ke kawasan ini dalam seminggu, tetapi tarikh dan waktu yang tepat belum ditentukan," kata Nor Hisham dari firma guaman Ram Reza & Muhammad.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Ram Reza & Muhammad mendakwa kumpulan Orang Asli itu menceroboh tanah yang merupakan hak milik Sri Jengka Sdn Bhd dan menghalang mereka daripada memasuki tanah tersebut.

"Beberapa laporan polis telah dibuat sejak 2015," kata firma guaman itu.

Sri Jengka, sebuah syarikat yang 39 peratus sahamnya dimiliki oleh kerajaan negeri Pahang diberi tanah oleh kerajaan negeri dengan tempoh pajakan selama 99 tahun pada tahun 2013.

Sri Jengka memberikan projek penanaman kelapa sawit kepada Elite Agriculture melalui rundingan terus.

Tahun lalu, Elite Agriculute mengemukakan permohonan di Mahkamah Tinggi Temerloh untuk memasuki dan mengambil alih tanah tersebut.

Pada 16 Februari, mahkamah berpihak kepada syarikat itu.

Defendan, yang merupakan ketua kampung Hajemi Din dan penduduk kampung lain membuat rayuan berhubung keputusan mahkamah.

Hajemi dan penduduk kampung mendakwa masyarakat Orang Asli tinggal di tanah di Kampung Lubuk Perah dan kawasan sekitarnya selama enam generasi, iaitu lebih daripada 100 tahun.

Hajemi mendakwa suku Semelai yang tinggal di kawasan itu diperakui oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan pelantikannya sebagai ketua kampung dinyatakan dalam sepucuk surat.

Pada sidang media hari ini, Pengerusi Sri Jengka Sdn Bhd, Rosni Zahari menafikan dakwaan bahawa syarikatnya menceroboh atau mengambil alih tanah nenek moyang atau tanah adat di Kampung Orang Asli Lubuk Perah.

Ini kerana katanya, pejabat tanah yang melakukan semakan ke atas tanah tersebut selepas menerima permohonan dari Sri Jengka, mendapati tanah itu bukan tanah adat atau tanah rayau suku Semelai.

"Sebenarnya, rumah Orang Asli terdekat berjarak sekurang-kurangnya 1km dari tanah kami. Ini bukan tanah Orang Asli atau tanah rayau," katanya.

Dia berkata syarikat tersebut tidak akan mendapat hak pegangan pajakan sekiranya tanah tersebut adalah tanah adat atau tanah rayau Orang Asli.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen