malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Isu pangkat Datuk Nor Salwani dibangkitkan di mahkamah
ADS

Isu pemberian pangkat Datuk kepada pegawai Jabatan Audit Negara (JAN) dibangkitkan semasa perbicaraan terhadap Najib Razak hari ini, yang berkaitan pindaan terhadap laporan audit 1MDB.

Peguam utama, Muhammad Shafee Abdullah mempersoalkan anugerah Datuk yang diberikan kepada Nor Salwani Muhammad, yang menerima anugerah itu selepas memberi keterangannya dalam perbicaraan bekas perdana menteri itu.

Dalam prosiding pada Nov 2019, Pengarah Audit (Sektor Tadbir Urus) Nor Salwani Muhammad diangkat sebagai wira setelah memberitahu mahkamah bahawa dia menyimpan laporan audit asal 1MDB, serta menyimpan rakaman mesyuarat untuk meminda laporan audit akhir 1MDB.

Dia memberi keterangan bahawa laporan yang ditandakan sebagai '9' itu disimpan bagi mengelakkan ia dimusnahkan.

Kes pendakwaan bergantung kepada apa yang didakwa berlaku dalam mesyuarat pada 24 Februari 2016, melibatkan wakil dari 1MDB, Jabatan Audit Negara, Perbendaharaan, Jabatan Peguam Negara (AGC) dan Pejabat Perdana Menteri.

Mesyuarat itu didakwa bagi membuat keputusan untuk meminda laporan audit 1MDB.

Nor Salwani dianugerahkan gelaran itu semasa sambutan Hari Wilayah Persekutuan pada 1 Februari tahun lalu oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Menteri wilayah persekutuan ketika itu, Khalid Samad berkata anugerah itu bagi menghargai jasa Nor Salwani menyimpan bukti pindaan ke atas laporan audit 1MDB.

“Apa yang Datuk Salwani lakukan adalah tindakan yang wajib dipuji, dan kerana itu kita setuju beri gelaran Datuk padanya,” kata Khalid kepada wartawan di Kuala Lumpur pada 1 Februari tahun lalu.

Semasa pemeriksaan balas di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, Shafee menyoal Nor Salwani mengenai apakah dia bersetuju dengan kenyataan Khalid.

Shafee: Mengenai kenyataan menteri, bagaimana pendapat anda?

Nor Salwani : Saya menghormati pandangan menteri. Namun, berdasarkan apa yang berlaku, pencalonan saya (untuk menerima anugerah itu) dibuat sebelum menteri memberikan pandangan.

Saksi pendakwaan ketujuh itu menjelaskan bahawa dia dicalonkan untuk menerima anugerah berkenaan kerana telah berkhidmat lama dengan JAN.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan kemudian mengingatkan peguam untuk tidak bertanya soalan yang sama terlalu lama.

Sementara itu ketika pemeriksaan semula oleh DPP Gopal Sri Ram hari ini, Nor Salwani berkata PAC akan menerima laporan audit dengan tanda "9" sekiranya tiada mesyuarat pada 24 Februari 2016.

Sri Ram: Jika tiada mesyuasat pada 24 Februari, laporan mana yang akan dibawa ke PAC?

Nor Salwani: Jika tidak ada mesyuarat pada 24 Februari, laporan "9", yang merupakan laporan audit akhir, akan dikemukakan kepada PAC.

Semasa prosiding pada 24 Ogos tahun lalu, bekas ketua audit negara Ambrin Buang, yang merupakan ketua bagi Nor Salwani dalam keterangannya berkata laporan audit 1MDB dengan tanda 9 akan dibawa ke PAC jika tiada mesyuarat pada 24 Februari 2016.

Di penghujung prosiding hari ini, Sri Ram memaklumkan kepada mahkamah bahawa enam saksi lain akan dipanggil oleh pihak pendakwaan.

Perbicaraan akan disambung pada 11 Ogos kerana pasukan peguam perlu membuat persiapan dan hujahan bagi rayuan berasingan Najib di Mahkamah Rayuan pada April depan.

Rayuan tersebut berkaitan permohonan Najib mengetepikan sabitan dan hukuman ke atasnya dalam kes rasuah SRC International melibatkan dana RM42 juta.

Bagi perbicaraan di hadapan Zaini, Najib dituduh menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dibuat pada laporan audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) bagi mencegah tindakan diambil terhadapnya.

Bekas CEO 1MDB Arul Kanda Kandasamy didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan tersebut.

Tuduhan tersebut dibuat di bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009, yang menetapkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda tidak kurang dari lima kali jumlah suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan .

Lihat Komen