malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Zahid: Tubuh kabinet khas untuk imbangi kuasa eksekutif saat darurat
Diterbitkan:  Feb 19, 2021 10:35 PM
Dikemaskini: 2:35 PM
ADS

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menyokong saranan Timbalan Speaker Dewan Rakyat Azalina Othman Said supaya 'Kabinet Khas Darurat' ditubuhkan bagi memastikan konsep pemisahan kuasa terus berjalan selari dengan amalan demokrasi.

Jelasnya, apa yang disuarakan Azalina adalah kebimbangan berhubung penggantungan Parlimen bakal mengundang kepincangan kepada dasar pengasingan kuasa eksekutif (pentadbiran), legislatif (perundangan) dan judisiari (kehakiman) di negara ini.

Katanya, pengasingan kuasa kepada tiga bahagian badan itu juga merupakan satu doktrin terpenting dalam pemerintahan demokrasi yang bertujuan mengelak pertindihan bidang kuasa dan penyalahgunaan kuasa akibat pemusatan kuasa kepada satu-satu cabang kuasa sahaja.

"Tetapi kini badan eksekutif pada pandangan beliau (Azalina) tampak mempunyai kebebasan tanpa doktrin 'separation of powers'.

"Justeru, saya berfikir cadangan timbalan speaker Dewan Rakyat itu supaya Kabinet Khas Darurat dibentuk segera ada kewajarannya.

"Kabinet khas ini akan berfungsi dengan kuasa yang terhad sehingga proklamasi darurat berakhir bagi menjaga kepentingan negara dan rakyat.

"Paling utama adalah urusan pentadbiran negara memerlukan semak dan imbang," tulisnya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.

Semalam Azalina meminta Peguam Negara, Idrus Harun untuk mempertimbang penggantungan tugas-tugas jemaah menteri dan digantikan dengan pelantikan Kabinet Darurat Khas yang terdiri daripada kementerian-kementerian yang relevan.

Dalam sepucuk surat kepada Idrus yang dikongsi dalam Facebooknya, Azalina berpendapat Kabinet tersebut boleh dibenarkan untuk berfungsi dengan kuasa-kuasa yang terhad sehingga darurat dibatalkan.

"Pada masa yang sama, sebuah Jawatankuasa Parlimen Khas Bipartisan yang terdiri daripada ahli-ahli parlimen daripada pembangkang dan juga kerajaan, dipengerusikan oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat antara lain, mempertanggungjawabkan menteri-menteri dan bertindak sebagai 'check and balance'," katanya.

Azalina memberitahu, dalam hal ini, dengan badan perundangan dimandulkan dan aktiviti-aktiviti Jawankuasa Pilihan Khas Parlimen dibatalkan, maka badan eksekutif dilihat mempunyai kebebasan dalam memerintah negara selagi mana darurat terus berkuat kuasa.

Lebih membimbangkan bagi demokrasi parlimen di Malaysia, katanya, adalah setiap darurat yang diisytiharkan atau ordinan yang digubal di bawah Perkara 150 tidak boleh dicabar atau dipersoalkan dalam mana-mana mahkamah atas apa-apa alasan.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata Azalina berhak menyuarakan kebimbangan itu memandangkan beliau merupakan timbalan speaker Dewan Rakyat.

"Kita tahu parlimen merupakan badan perundangan Persekutuan. Memeriksa dasar-dasar kerajaan, meluluskan perbelanjaan dan dasar-dasar cukai negara.

"Parlimen juga menjadi forum untuk membincangkan perkara-perkara berkaitan kepentingan rakyat. 

"Parlimen mempunyai kedudukan paling utama dalam sistem demokrasi," katanya lagi.

Lihat Komen