BERITA

Malaysiakini rayu ihsan orang ramai kutip RM500,000

19 Feb 2021, 4:00 am

Dikemaskini 5 bulan lepas

A
+
A
-

Nota editor: Kami menangguhkan kempen derma ini kerana ia sudah mencapai sasaran. Terima kasih kepada para dermawan semua.


Malaysiakini sekali lagi merayu ihsan orang ramai untuk membantunya mengumpulkan RM500,000 setelah Mahkamah Persekutuan memutuskan portal bebas ini menghina mahkamah melalui ruangan komentar pembaca.

Nilai itu melebihi jumlah yang diminta oleh pihak pendakwa raya iaitu sebanyak RM200,000. Ia mesti dibayar dalam tempoh tiga hari bekerja, iaitu selewat-lewatnya pada Rabu, 24 Februari.

Prosiding penghinaan terhadap Malaysiakini dan ketua pengarangnya Steven Gan dimulakan oleh Peguam Negara Idrus Harun berhubung komen yang dibuat oleh pembaca di laman web Malaysiakini.

Keputusan majoriti 6-1 adalah muktamad dan tidak boleh dirayu. Mahkamah Persekutuan walau bagaimanapun tidak menjatuhkan hukuman ke atas Gan.

"Kami bukan dihukum kerana tulisan (kewartawanan) kami. Kami dihukum kerana komen yang dibuat oleh pembaca kami," kata Gan.

Pada 16 Jun tahun lalu, setelah dilantik sebagai Peguam Negara, Idrus memohon prosiding penghinaan terhadap Malaysiakini dan Gan.

Idrus berpendapat bahawa kedua-dua responden telah menghina mahkamah dengan menerbitkan komentar lima pembaca berhubung sebuah sebuah artikel bertarikh 9 Jun yang bertajuk “CJ orders all courts to be fully operational from July 1.”

Komen tersebut, menurut Idrus, "jelas bermaksud bahwa badan kehakiman melakukan kesalahan, terlibat dalam rasuah, tidak menegakkan keadilan dan integriti yang meragukan.”

Komen-komen itu, kata Idrus, menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap badan kehakiman dan "jelas" bertujuan memburuk-burukkan badan kehakiman.

Jawapan Malaysiakini kepada mahkamah adalah bahawa pihak pendakwa tidak dapat membuktikan niat portal berita ini menyiarkan komen tersebut untuk memfitnah mahkamah.

Gan berkata, pembaca Malaysiakini terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat - termasuk anggota sistem kehakiman - yang berkongsi matlamat organisasi berita ini untuk memastikan mereka yang memegang kuasa melaksanakan tugas mereka dengan bertanggungjawap.

"Kami berharap rakyat Malaysia sudi menyumbang kepada tabung kami. Keterbukaan terhadap pandangan kritikal adalah tanda institusi yang kuat dan sihat.

"Selama 21 tahun, Malaysiakini bergantung atas ihsan dan kemurahan hati orang ramai untuk meneruskan misinya. Kami sekali lagi merayu rakyat Malaysia untuk membantu kami," kata Gan.

Nota editor: Kami menangguhkan kempen derma ini kerana ia sudah mencapai sasaran. Nombor akaun berkaitan tidak lagi dipaparkan dalam artikel ini. Terima kasih kepada para dermawan semua.



 

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.