malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PIBGN tolak cadangan tubuhkan Majlis Tindakan Pendidikan Kebangsaan
ADS

Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) menolak cadangan yang dikemukakan bekas menteri pendidikan, Maszlee Malik untuk menubuhkan Majlis Tindakan Pedidikan Kebangsaan.

Presidennya, Prof Madya Dr Mohamad Ali Hassan berkata ini kerana dia khuatir penubuhan majlis tindakan itu nanti hanya akan menjadi medan untuk berpolitik.

"Saya hanya khuatir satu saja, perkara ini terlalu politiking. Sebab gesaan itu dari ahli politik bukan mereka yang bebas.

"Jadi, saya khuatir kewujudan satu lagi jawatankuasa yang barang kali akan dipelopori pihak pembangkang dan dijadikan platform politik, bukan untuk mencadangkan penambahbaikkan sistem pendidikan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Mohamad Ali berkata demikian ketika diminta mengulas gesaan Maszlee supaya kerajaan segera menubuhkan Majlis Tindakan Pendidikan Kebangsaan.

Pada 15 Feb lalu, Maszlee dilaporkan berkata kerajaan perlu menyegerakan penubuhan Majlis Tindakan Pendidikan Kebangsaan yang terdiri daripada ahli parlimen kerajaan, pembangkang serta pakar yang terlibat dalam bidang pendidikan.

Maszlee berkata, ia merupakan antara 12 cadangan yang dikemukakan kepada kerajaan bagi menangani krisis pendidikan ketika pandemik Covid-19.

Tambah Maszlee, pendidikan tanggungjawab bersama dan memerlukan usaha bersepadu, kolaboratif dan holistik daripada semua pihak.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata ketika ini kerajaan sudah menyediakan saluran untuk semua pihak mengemukakan pandangan mahupun komentar dalam usaha menambah baik sistem pendidikan negara.

"Sekarang ini apa saja cadangan mahu pun komentar atau pun penambahbaikkan boleh disalurkan tanpa mewujudkan satu-satu jawatankuasa tersebut.

"Banyak pandangan, cadangan serta komentar yang diberikan pihak kerajaan, bukan kerajaan, individu dan NGO, termasuk saya.

"Maknanya, platform itu ada dan bebas, tak ada usaha untuk sekat apa-apa cadangan. Jadi, saya melihat tidak ada keperluan lagi untuk menubuhkan jawatankuasa yang kononya bebas, kononnya saya kira bebaslah.

"Sebab kalau disuarakan oleh pihak politik, saya rasa tidak bebas," katanya.

Oleh itu, katanya kewujudan satu lagi jawatankuasa seperti yang dicadangkan ahli parlimen Simpang Renggan yang kononnya bebas hanya akan mengadakan birokrasi yang lain.

Soal Mohamad, isunya sekarang apakah tidak ada saluran atau pun halangan untuk melakukan penambahbaikkan yang sedang dilakukan oleh kerajaan.

Menurut Mohamad kewujudan satu lagi jawatankuasa seperti yang dicadangkan Maszlee yang kononnya bebas hanya akan mewujudkan birokrasi lain.

"Saluran-saluran untuk penambahbaikkan masih terbuka, jadi tak perlu wujudkan satu lagi birokrasi lain dan banyak saluran saluran yang boleh dikemukakan sama ada media cetak atau media sosial, saya kira begitu luas.

"Jadi, bagi saya saluran-saluran itu sudah ada, tak perlu nak mendesak nak menubuhkan lagi birokrasi yag lain. Saya lihat ini nanti akan mengadakan birokrasi bukan untuk membuat perubahan apa-apa.

"Keduanya, saya melihat cadangan yang dikemukakan boleh disalurkan terus ke Kementerian Pendidikan," tambahnya.

Lihat Komen