malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Mahkamah tetapkan 18 Feb sama ada Rosmah bebas atau dipanggil bela diri
ADS

Keputusan sama ada isteri bekas perdana menteri, Rosmah Mansor akan dibebaskan dari tuduhan rasuah atas dakwaan meminta rasuah berjumlah RM187.5 juta atau dipanggil membela diri akan diketahui pada 18 Februari.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan tarikh itu setelah hakim Mohamed Zaini Mazlan mendengar hujah lisan dari pasukan pendakwaan dan pembelaan hari ini.

Rosmah, yang merupakan isteri kepada Najib Razak, diwakili oleh peguam yang diketuai oleh Jagjit Singh dan Akberdin manakala bekas hakim Mahkamah Tinggi, Gopal Sri Ram mengetuai pasukan pendakwaan.

Rosmah menghadapi tiga tuduhan rasuah atas dakwaan meminta RM187.5 juta daripada pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin sebagai dorongan untuk membantu syarikat itu mendapatkan projek solar bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak yang bernilai RM1.25 bilion melalui rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Dia juga dituduh menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta dari Saidi antara 2016 dan 2017.

Pzsukan pembelaan dalam hujahnya berpendapat bahawa Rosmah tidak pernah meminta suapan yang didakwa diterima dalam bentuk wang tunai RM5 juta dan RM1.5 juta dalam dua beg berasingan di kediaman Seri Perdana.

Jagjit mendakwa Saidi yang menawarkan RM6.5 juta sumbangan politik kepada Najib untuk persediaan pilihan raya, setelah diatur olehnya, bekas rakan perniagaannya Rayyan Radzwill Abdullah dan bekas pembantu Rosmah Rizal Mansor.

Dia mendakwa dana itu kemudian diberikan kepada Najib melalui Rosmah.

Rosmah, yang berpakaian baju kurung hijau dan bertudung, dilihat duduk di kandang tertuduh dan mendengar dengan teliti hujah berkenaan.

Sekiranya disabitkan kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang darpada lima kali ganda jumlah suapan.

Terdahulu, Sri Ram menjelaskan ada bukti bahawa tertuduh telah mengarahkan Rizal untuk meminta suapan tersebut.

"Hujah pembelaan berulangkali menyataakn terdapat bukti bahawa tertuduh tidak meminta wang dari saksi pendakwaan 17 (merujuk kepada Saidi).

"Tuduhan terhadap tertuduh bukannya dia secara peribadi meminta suapan tersebut. Kes pendakwaan adalah bahawa dia melakukannya melalui saksi pendakwaan ke-21 (merujuk kepada Rizal).

"Oleh itu sasaran pihak pembelaan adalah salah. Dengan rasa hormat, tidak relevan bahawa tertuduh tidak meminta suapan secara peribadi dari PW 17.

"Terdapat bukti dari PW 21 bahawa tertuduh mengarahkannya untuk meminta suapan yang dimaksudkan," katanya.

Lihat Komen