malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
AMK pertahan tindakan Anwar utus surat pada Agong
Diterbitkan:  Feb 6, 2021 11:35 AM
Dikemaskini: 3:35 AM
ADS

Pemuda PKR (AMK) mempertahankan tindakan presidennya parti itu, Anwar Ibahim, mengutuskan surat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi memohon agar pelaksanaan darurat ditamatkan.

Ketua AMK, Akmal Nasir, berkata tindakan pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap Anwar berhubung perkara itu pula merupakan bukti bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) kini terdesak.

Jelas Akmal, kenyataan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin berhubung perkara itu adalah bersifat ugutan dan bermotifkan politik. Hal itu kerana kata Akmal, hanya Anwar seorang saja disiasat.

"Ini merupakan tindakan terdesak Menteri Dalam Negeri dan kerajaan PN dengan menggunakan modus operandi yang tidak demokratik, memanipulasikan undang-undang dan mengeksploitasi penjawat awam demi kepentingan politik semata-mata.

"Menteri Dalam Negeri dilihat gopoh apabila mengeluarkan kenyataan politik yang jauh menyimpang daripada inti pati sebenar warkah yang dihantar kepada Agong.

"Tindakan berbaur ugutan ini sama sekali tidak berasas dan membelakangkan hak ahli Parlimen untuk menyampaikan warkah bagi mewakili serta menyampaikan hasrat rakyat kepada Agong," katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Pada 2 Feb lalu, Hamzah memaklumkan polis sudah membuka kertas siasatan terhadap Anwar susulan 13 laporan polis dibuat di seluruh negara ke atas ketua pembangkang itu.

Kerajaan khilaf gantung parlimen

Anwar diadukan kepada polis kerana didakwa menghasut dan mengancam keselamatan serta ketenteraman negara.

Ahli parlimen Larut merangkap setiausaha agung Bersatu itu berkata, siasatan juga akan dijalankan ke atas beberapa individu lain yang didakwa menentang pengisytiharan darurat.

“Bukan hanya Anwar seorang, malah beberapa orang lagi kita siasat,” katanya di Putrajaya.

Terdahulu, media melaporkan Anwar mencadangkan agar semua ahli Parlimen menghantar surat kepada Agong bagi memohon perkenan Seri Paduka membatalkan proklamasi darurat dan menitahkan sidang parlimen diadakan secepat mungkin.

Umno turut meminta ahli parlimennya menghantar surat kepada Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah untuk tujuan sama. Bagaimanapun ia tidak mendapat sokongan daripada ahli Parlimen Umno.

Akmal berkata, tindakan Anwar itu mempunyai asas perlembagaan berdasarkan Perkara 150 (3) berhubung perisytiharan darurat.

"Tindakan Anwar dan ahli-ahli parlimen sudah pasti mempunyai asas perlembagaan yang kuat dengan merujuk Perkara 150 (3) berhubung perisytiharan darurat yang boleh ditarik balik oleh Agong atau dibatalkan parlimen.

"Dalam hal ini, kekhilafan kerajaan yang menggantung Parlimen telah menjadikan hanya Agong sebagai saluran yang boleh menamatkan darurat," katanya lagi.

Oleh itu Akmal menggesa kerajaan PN agar segera menghentikan budaya ugutan serta menginsafi banyak tindakan mereka yang telah merugikan rakyat.

Lihat Komen