malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kelantan sokong naik kompaun ingkar PKP
ADS

Kerajaan Kelantan menyokong cadangan untuk menaikkan nilai kompaun yang lebih tinggi kepada pesalah yang ingkar dan melanggar prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan (PKP).

Menteri besarnya Ahmad Yakob berkata pelaksanaan cadangan menerusi pindaan Akta 342 itu bertepatan dengan keperluan semasa termasuklah jumlah kompaun maksimum RM1,000 di bawah akta berkenaan.

“Saya bersetuju nilai kompaun dinaikkan, kita bukan nak kompaunkan rakyat (menyusahkan rakyat)… tetapi untuk menimbulkan rasa tanggungjawab kepada mereka dalam usaha melandaikan (keluk jangkitan) kes Covid-19 di negara ini,” katanya.

Dia berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Program Info On Wheels Kempen Pematuhan SOP Covid-19 di Kota Bharu hari ini.

Menurutnya walaupun kes harian Covid-19 di Kelantan menunjukkan trend penurunan, pihaknya mendapati kepatuhan masyarakat terhadap SOP masih kurang, justeru dia meminta rakyat mematuhi SOP supaya wabak itu dapat dikawal, sekali gus memulihkan ekonomi.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob dilapor berkata pihak Jabatan Peguam Negara sedang merangka draf cadangan bagi menaikkan nilai kompaun pesalah yang mengingkari SOP PKP.

-Bernama

Lihat Komen