malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Cikgu hadapi gangguan video lucah ketika sesi PdPR
ADS

Bertugas dengan norma baru pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR), ada guru mendakwa mereka turut berdepan dengan gangguan lucah oleh segelintir "murid nakal".

Bagi seorang guru dari sebuah sekolah di Kepong yang mahu dikenali sebagai Cikgu N, mendedahkan dia diganggu dengan tayangan video lucah oleh pelajar ketika sesi PdPR berlangsung.

"Murid mengganggu proses PdPR yang menggunakan platform Google meet dengan menyiarkan video lucah.

"Perkara ini dilakukan oleh murid tingkatan satu, mereka berani berbuat demikian kerana mereka belum bersemuka dengan guru," katanya kepada Malaysiakini.

Apabila berdepan dengan gangguan sebegitu, kata Cikgu N, dia terpaksa menghentikan sesi PdPR.

Bagaimanapun katanya tindakan itu akhirnya akan memberi kesan serta merugikan pelajar lain yang tidak terbabit.

Jelas Cikgu N, bukan dia saja yang berdepan dengan gangguan sebegitu sebaliknya masalah sama turut dihadapi guru lain.

Sesi persekolahan 2021 dijalankan mulai 20 Jan lalu secara PdPR ekoran ancaman wabak Covid-19 yang belum reda.

PdPR ialah pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang dilaksanakan di rumah atau pusat komuniti atau di mana-mana lokasi yang bersesuaian. 

Menurut Kementerian Pendidikan Malaysia kaedah itu boleh dilaksanakan secara dalam talian atau luar talian atau off-site dengan berstruktur dan terancang.

Menerusi pendekatan dalam talian, cara pembelajaran melalui capaian internet, peranti dan belajar secara waktu sebenar (real time)

Bagi pelaksanaan luar talian pula murid belajar menggunakan peranti seperti komputer, komputer riba, tablet atau telefon pintar tanpa capaian internet.

Selain itu, untuk membantu murid yang tidak mempunyai akses internet atau peranti sesuai, guru mengambil inisiatif melaksanakan PdP melalui serahan bahan pembelajaran kepada murid mengikut kesesuaian.

Seorang lagi guru yang enggan namanya didedahkan, turut mengalami nasib sama seperti Cikgu N iaitu diganggu murid dengan video dan gambar lucah ketika PdPR.

"Saya terkejut dengan kejadian yang tidak diingini, apatah lagi ketika itu pelajar murid-murid sekitar 100 orang sedang mengikuti pembelajaran.

"Disebabkan seorang murid nakal yang buat hal, habis sesi pembelajaran terpaksa dihentikan," katanya.

Menurut guru terbabit kejadian itu berlaku pada minggu lalu dan ia sudah dimaklumkan kepada pihak pentadbir sekolah dan pejabat pendidikan daerah.

Lihat Komen