malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Mestron: Kami tak dapat kebenaran KKM untuk edar, beli vaksin Covid-19
Diterbitkan:  Jan 31, 2021 5:56 PM
Dikemaskini: 9:56 AM
ADS

Mestron Holdings Bhd menjelaskan bahawa pihaknya tidak mendapat kebenaran daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk membeli atau mengedar vaksin Covid-19.

“Hasrat Mestron adalah untuk meneroka dan melibatkan diri dalam perniagaan pengedaran vaksin, bekerjasama dengan Zhongyu Yexing (Chengdu) Industrial Co Ltd (Zhongyu), "katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Syarikat itu berkata demikian bagi mengulas laporan Berita Harian pada Jumaat lalu (29 Jan) yang bertajuk: “Mestron edar vaksin Covid-19 dari China”.

Laporan tersebut memetik pengarah urusannya Por Teong Eng sebagai berkata, pihak syarikat sudah menerima surat kebenaran daripada KKM untuk memulakan rundingan dan kerjasama dengan mana-mana syarikat dari China untuk mengimport dan mengedar vaksin Covid-19.

Menerusi kenyataan kepada Bursa Malaysia semalam, Por sekali lagi mengatakan pihaknya telah menerima surat kebenaran dari KKM untuk "memulakan rundingan" dengan syarikat China yang berurusan dengan vaksin.

Sementara itu, KKM telah menyangkal dakwaan Mestron.

Ditanya berhubung kebenaran untuk memulakan rundingan, Menteri Kesihatan Dr Adham Baba menegaskan bahawa tiada sebarang surat kebenaran diberikan.

Zhongyu adalah sebahagian daripada Sino Pharma Group of Companies (Sinopharm).

Mestron berkata, Zhongyu bersedia untuk membekalkan tiga juta dos sejurus vaksin Sinopharm diluluskan di Malaysia.

Tambahnya syarikat itu juga dijangka melabur sehingga RM20 juta dalam usaha sama tersebut.

Dua vaksin Sinopharm masih dalam fasa tiga ujian klinikal dan setakat ini masih belum diluluskan di Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisuam Abdullah berkata, vaksin hanya boleh diberikan jika ia diluluskan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

Lihat Komen