malaysiakini logo
story-image
ADS

ULASAN | Persoalan tender, tender terpilih dan tender terbuka dalam kontrak kerajaan sering mendapat perhatian terutama pada musim pilihan raya.

Ia adalah detik bagi setiap pemimpin semua parti cuba meraih sokongan atau mahu menampilkan diri mereka sebagai juara yang benar-benar bersih dan telus.

Rakyat didendangkan dengan lagu sama selepas sesuatu puak berjaya meraih kuasa, tender atau projek tertentu dan terpaksa disemak semula atas pelbagai alasan. Perkara utama yang ingin diketengahkan ialah kononnya supaya proses berkenaan lebih telus.

Apa yang rakyat tidak sedar ialah betapa - apabila mendapat kuasa - ada pelbagai kaedah licik boleh dilakukan atas nama pemberian kontrak secara tender atau tender terbuka bagi agenda diri dan parti.

Proses tender bukan sesuatu yang kompleks untuk difahami. Ringkasnya ia adalah urusan membabitkan pihak yang ingin merebut projek yang mengemukakan dalil masing-masing untuk membuktikan mereka paling layak melaksanakan sesuatu kerja yang ditawarkan kerajaan.

Di pihak kerajaan pula, ia menjadi peluang terbaik untuk mereka memilih pihak yang benar-benar layak melaksana atau membekalkan perkhidmatan, barangan, melaksana penyelenggaraan atau pembinaan.

Syarikat yang ingin membuatkan bidaan perlu mematuhi segala syarat yang ditetapkan termasuk pendaftaran, kepala bidang, skop kerja, memiliki pasukan pekerja yang bertauliah, pengalaman dan kejayaan melaksana projek, keampuhan modal syarikat menurut nilai tender dan aspek berkaitan lain.

Ada tender secara mengejut

Pembida tender juga perlu mengemukakan tawaran melaksana sesuatu projek pada harga terbaik bersama bukti mereka ada pembekal terbaik untuk memastikan projek mampu dilaksanakan.

Sementara itu tugas panel tender pula adalah memilih syarikat terbaik yang - menurut pandangan dan penilaian mereka - mampu melaksanakan projek pada harga terbaik sejajar dengan jumlah peruntukan.

Adakala syarikat yang menawarkan harga lebih tinggi daripada anggaran peruntukan masih berpeluang merebut projek jika didapati hanya syarikat berkenaan yang dirasakan benar-benar layak berbanding syarikat lain.

Namun kebiasaannya syarikat yang dipilih menawarkan harga lebih rendah daripada anggaran projek meskipun secara relatifnya seringgit atau seratus lebih murah sudah dianggap di bawah bajet.

Tender biasanya dikeluarkan kementerian yang berkenaan apabila sesuatu perancangan diluluskan menerusi belanjawan Parlimen dan ada ketikanya dikeluarkan secara mengejut terutama membabitkan aspek darurat atau bencana.

Ada suatu bahagian atau unit di kementerian mengawal selia tugasan mengelola tender termasuk aspek apakah skop kerja, anggaran peruntukan, syarat yang perlu dipenuhi syarikat yang memasuki tender dan sebagainya.

Malah ramai kontraktor secara berseloroh menyatakan, antara 'kabel' yang paling bagus ialah pegawai yang merangka tender kerana mereka lebih arif mengenai segala aspek dan keperluan berkaitan.

Penender berpengalaman dan yang memiliki maklumat peruntukan sering dianggap mempunyai kelebihan.

Bagi puak yang berjaya merebut kuasa pula, urusan pembangunan, perkhidmatan dan perbekalan bukan saja penting untuk kemajuan negara sejajar dengan manifesto masing-masing, tetapi juga memberi talian hayat kepada kelangsungan politik.

Sebelum menang pilihan raya, seseorang calon - terutama daripada kalangan parti miskin - amat bergantung harap kepada bantuan kewangan pihak lain dan ia 'dihalalkan' menerusi istilah dana politik.

Ada parti mengedar tabung setiap kali ceramah dan banyak juga yang berganding bahu dengan usahawan, kontraktor atau peniaga untuk mengisi keperluan dana.

Dapat tender mengejutkan

Begitu juga dengan bantuan penyokong tegar yang bermati-matian dan acap kali lebih fanatik berbanding calon sendiri.

Oleh itu kaedah perlu dicari. Umpama menarik rambut dari tepung; rambut jangan putus, tepung usah berselerak.

Pihak yang memegang kuasa perlu membalas jasa baik orang yang mengangkatnya. Dalam konteks ini, orang itu ialah pengundi, penderma atau parti diwakili.

Justeru tidak hairanlah isu kronisme timbul.

Di sebalik hakikat tender pula, muncul apa yang dikatakan sebagai proses memilih siapa yang perlu dianugerahkan.

Kita sering mendengar ada syarikat yang misalnya diketahui umum hanya pandai membancuh air tetapi tiba-tiba memperoleh tender projek pembinaan mega. Atau pengilang skru tiba-tiba mendapat tender hospital.

Ia berlaku ketika bidang asal syarikat tersebut terlalu jauh daripada skop tugasan tender yang diperlukan kerajaan (terima kasih pendaftar syarikat yang membenarkan sesuatu nama syarikat menyenaraikan puluhan kepala bidang).

Rakyat dan usahawan tertanya-tanya mengapa ia berlaku. Penender yang berjaya membuat bidaan dan terpilih akan berhujah bahawa mereka dikurniakan tender menerusi proses terbuka.

Bagaimana ia berlaku? Bagaimana mahu 'mengelat' mengelirukan rakyat marhaen bahawa penguasa nampak amat telus lagi suci tetapi pada masa sama kroni masih terjaga, penyokong dan parti gembira.

Pertama, sistem yang ada membolehkan pemegang kuasa memberi arahan, menaikkan pangkat atau menukar pegawai. Istilah pengasingan kuasa di antara parlimen, perundangan dan eksekutif di negara ini seakan kabur.

Maka biasanya apabila sesuatu penguasa dipilih, pasti juga berlaku rombakan di peringkat kementerian atau agensi penguat kuasa dan keselamatan.

Kedua, penguasa juga menjadi penentu akhir sesuatu projek mega dan dana diluluskan untuk membolehkan sesuatu kerja dilaksanakan. Oleh itu, bagi memastikan orang atau syarikat pilihan boleh merebut tender, 'wahyu' boleh disampaikan, surat sokongan boleh digunakan.

Apakah tidak mungkin pegawai diarah menukar syarat tender senyap-senyap supaya hanya syarikat tertentu sahaja yang dianggap memenuhi piawaian tender?

Malah mungkin juga dengan cara maklumat tender dibocorkan, pengenalan kepala bidang skop kerja baru dibuat secara mengejut, dan tawaran tender dibuka untuk tempoh terlalu singkat. Macam-macam kaedah teknikal boleh dilakukan.

Pelaksana agenda negara

Ada juga rungutan - dokumen tender tiba-tiba menjadi tidak lengkap sedangkan nama syarikat sudah tersenarai untuk penilaian akhir lembaga tender.

Ketika semakin kuat rungutan tender tidak adil atau aduan projek dibolot kartel dan kroni tertentu, pegawai antirasuah dikerah untuk menggambarkan keadaan sudah berubah.

Hakikatnya sebahagian besar kontraktor, peniaga dan pembekal semakin lantang bersuara bahawa mustahil untuk mengelak rasuah jika mahu terus mendapat projek, baik wang dihulur sebelum sesuatu calon duduk di pentas pilihan raya lagi, atau diberikan ketika projek berjalan bagi membolehkan penguasa melunaskan hutang budi.

Bagaimana dengan projek rundingan terus? Tender yang kelihatan sulit pun mudah dipermain, apatah lagi dengan rundingan terus. Apakah isu ini memang tidak akan ada kesudahan?

Kelompangan perundangan dan sistem - selain kebejatan akal budi di setiap sanubari - perlu diperbetul kerana dibimbangi isu ini akan mengakibatkan rasuah dan kronisme terus-terusan membarah.

Diharapkan akan wujud kesedaran di semua lapisan - baik di perkhidmatan awam, golongan eksekutif atau rakyat - bagi membendung perkara ini. Rakyat kini bergantung kepada penjawat awam. Ia kerana mereka adalah pelaksana dan harapan terakhir membantu Yang di-Pertuan Agong menerajui negara.

Mereka juga perlu belajar daripada kesilapan lalu, bahawa mereka sering menjadi kambing hitam apabila badan rasuah bertindak.

Covid-19 juga sepatutnya mengajar penjawat awam bahawa mereka perlu waras dan tidak akur kepada tuntutan penguasa politik secara membuta tuli bagi mengelak tragedi.

Andai mereka diperkasa sehingga mampu menangkis godaan, pujukan, arahan, perintah penguasa politik, Malaysia mampu kembali bersinar makmur.


MEOR HISHAM ZULKIFLI ialah adalah bekas wartawan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen