malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Makluman pada ahli Eurocham: Penutupan penuh ekonomi jika kes tak turun
Diterbitkan:  Jan 24, 2021 1:08 PM
Dikemaskini: 9:47 AM
ADS

Sepucuk surat oleh CEO Dewan Perniagaan Eropah-Malaysia (Eurocham Malaysia) Sven Schneider kepada para anggotanya membayangkan kerajaan berhasrat mengumumkan penutupan ekonomi secara menyeluruh selepas 4 Feb, jika bilangan kes Covid-19 di Malaysia terus meningkat.

Seorang sumber Eurocham yang dihubungi Malaysiakini mengesahkan ketulenan surat itu tetapi berkata ia ditujukan untuk edaran di kalangan anggotanya sahaja.

Surat itu mengandungi rumusan mesyuarat "mustahak dan segera" antara Schneider dengan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Luar Negeri (Miti) Lokman Hakim Ali dan para pegawai lain pada 22 Jan lalu, yang antara lain menyebut bahawa Kementerian Kesihatan (KKM) "menyatakan pendirian jelas berhubung penutupan menyeluruh ekonomi".

"Jika kadar jangkitan tidak berkurang, kerajaan akan mengumumkan penutupan/sekatan pergerakan ketat serta-merta selepas 4 Feb.

"Inilah situasi semasa yang sedang kita hadapi dan Miti meminta semua syarikat, sama ada tempatan atau dari luar, untuk menyertai usaha mengurangkan jangkitan, memutuskan rantaian, dan agar ekonomi terus berjalan," menurut surat itu.

Schneider berkata KKM percaya bahawa sektor perkilangan adalah punca utama jangkitan, dengan 99 kluster setakat ini.

"(Sektor) pembinaan turut disebut tetapi memandangkan ia bukan di bawah skop Miti, kami tidak membincangkannya secara terperinci.

"Oleh kerana asrama pekerja dan kegiatan berkaitan (pengangkutan, kegiatan sosial) terutamanya dikenal pasti sebagai masalah, manakala tapak perkilangan sendiri lazimnya menunjukkan kepatuhan yang memadai, Miti bersama-sama dewan perniagaan bersama-sama membincangkan beberapa langkah yang boleh diambil.

"Sementara kita menunggu maklumat lanjut daripada kementerian dan oleh kerana masa amat penting, kami mengongsikan hasil awal dengan anda," katanya lagi.

Surat itu turut mencadangkan agar syarikat menugaskan sekurang-kurangnya seorang wakil sumber manusia untuk menguruskan dan mengawal selia peker asing dan/atau pekerja yang tinggal di tempat tinggal yang disediakan syarikat.

Syarikat turut diminta memikul tanggungjawab jika pengurusan dan penempatan pekerja asing dikendalikan oleh agensi pekerjaan.

Sementara itu, Bendahari Agung PKR Lee Chean Chung berkata Azmin selaku menteri bertanggungjawab perlu menjawab tiga persoalan berkaitan surat itu, termasuk berkenaan ketelusan maklumat.

"Mengapa risiko ini hanya disampaikan kepada pelabur asing, tetapi tidak kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan rakyat jelata?

"Adakah pelabur asing lebih penting daripada perniagaan warga Malaysia dan nyawa rakyat?" soalnya yang juga Adun Semambu.

Malaysiakini sedang berusaha mendapatkan maklum balas Miti dan KKM berhubung apa yang disebut dalam surat Schneider.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen