malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Tembok di sempadan Sarawak-Kalimantan satu lagi pembaziran'
Diterbitkan:  Jan 23, 2021 2:42 PM
Dikemaskini: 6:42 AM
ADS

Bekas Ahli Parlimen Stampin, Julian Tan Kok Ping membidas cadangan Timbalan Ketua Menteri Sarawak, James Masing agar Malaysia membina tembok di sempadan Kalimantan di kepulauan Borneo.

"Ini adalah satu lagi pembaziran yang besar. Berapa tebal dan berapa lama masa akan diambil untuk memagar sepanjang 1,032km sempadan dengan Kalimantan?

"Pagar jaring biasa tidak dapat digunakan, belum lagi soal logistik untuk membina tembok dan mesej politik yang kita kirimkan ke Indonesia dengan membina tembok ini .

"Dengan ibu kota Indonesia yang baru akan berpusat di Kalimantan, kita seharusnya fokus pada pertumbuhan ekonomi kita untuk menjadi pusat ekonomi utama pada masa akan datang di rantau Borneo," kata Tan yang berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Stampin dari 2013 hingga 2018.

"Rakyat Sarawak tidak memerlukan satu lagi projek mega bernilai berbilion ringgit, kita memerlukan penyelesaian yang nyata dan praktikal untuk menjadi destinasi pilihan untuk pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan langsung domestik (DDI).

"Itu adalah kunci untuk mencapai visi kita bagi mewujudkan negara berpendapatan tinggi," tambah Tan, yang kini bekerja sebagai jurutera dan perunding aeroangkasa dan pertahanan dan melakukan penyelidikan pascasiswazah dalam teknologi dron.

Sebaliknya, dia meminta Masing untuk fokus pada masalah yang lebih memerlukan perhatian segera.

"Sebagai contoh, industri pelancongan yang terjejas teruk oleh pandemik Covid-19 adalah salah satu penyumbang terbesar dalam KDNK, yang menghasilkan RM11.57 bilion dalam industri pelancongan dan menyumbang 8.72 peratus daripada KDNK negeri pada 2019.

"Jumlah RM11.57 bilion adalah jumlah yang besar untuk penduduk negeri yang berjumlah 2.81 juta," katanya.

Tambahnya, menurut Malaysia Budget Hotel Association Sarawak Chapter, lebih dari 100 hotel di Sarawak telah ditutup atau sedang dalam keadaan tergendala operasi.

Awal minggu ini Masing mengatakan dia mahu tembok atau pagar dibina di tempat-tempat strategik di sepanjang sempadan Malaysia-Indonesia untuk mengekang kemasukan pendatang tanpa izin ke negeri itu.

Katanya, Sarawak juga telah mencadangkan untuk membina lebuh raya sejauh 1,032km di sepanjang perbatasan dari kompleks Kastam, Imigrasen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) Biawak di selatan negeri ini, hingga ke Lawas, daerah paling utara, yang dianggarkan berharga RM24 bilion.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen