malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Lim: Pakej Permai RM15b terlalu sedikit, tiada suntikan fiskal baru
Diterbitkan:  Jan 19, 2021 4:27 PM
Dikemaskini: 8:36 AM
ADS

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menyifatkan pakej bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) yang diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sebagai tidak memadai.

Bekas menteri kewangan itu berkata, jumlah RM15 bilion pakej itu terlalu sedikit dan jauh berbeza dengan peruntukan RM305 bilion oleh kerajaan ketika permulaan wabak Covid-19 tahun lalu.

Menyifatkannya sebagai kitar semula daripada Belanjawan 2021, Lim berkata jumlah tersebut juga tidak merangkumi sebarang suntikan fiskal yang baru.

"Walaupun dengan tindakan seperti itu (peruntukan RM305 bilion tahun lalu), ekonomi negara tetap merosot sehingga mencatatkan kadar pengangguran tertinggi untuk beberapa dekad, iaitu 4.8 peratus pada November 2020.

"Bagaimana pakej bantuan RM15 bilion, dengan jangkaan perbelanjaan langsung yang hanya RM3.87 bilion, yang dialihkan daripada peruntukan sedia ada, dapat membantu memulihkan ekonomi kita?" soalnya dalam kenyataan.


Ucapan penuh PM: Pakej Bantuan Khas


Lim berkata, jumlah itu turut jauh lebih sedikit berbanding pakej rangsangan RM45 bilion yang dicadangkan PH untuk mengatasi kemerosotan ekonomi semasa bagi menyelamatkan perniagaan dan pekerjaan.

Katanya lagi, pakej tersebut jelas hanya "bungkusan baru" apabila Muhyiddin sendiri mengakui dana tersebut diambil daripada peruntukan sedia ada dalam Belanjawan 2021.

"Memandangkan tiada suntukan fiskal baru ke dalam ekonomi di bawah Permai, kesannya terhadap pertumbuhan ekonomi untuk keluar dari kemerosotan juga minimum," katanya lagi.

Dalam pengumumannya, Muhyiddin berkata kerajaan perlu mengatur semula peruntukan bagi mendanai pakej tersebut.

Perintah kawalan pergerakan kali kedua, atau PKP 2.0, berkuat kuasa bermula 13 Jan lalu. Ia dijadual berakhir pada 26 Jan tetapi tarikh itu boleh dilanjutkan.

Dalam pada itu, Lim berkata Muhyiddin mungkin mendapat nasihat yang salah jika dia yakin pembukaan semula lebih banyak perniagaan pada PKP kali ini akan mengurangkan kesannya kepada ekonomi.

"Selepas PKP pertama, pertumbuhan KDNK merosot ke para negatif 17.1 peratus dalam suku kedua 2020.

"Jika ekonomi terus merosot dua peratus dalam suku pertama atau kedua tahun ini, ia pastinya tidak baik untuk ekonomi Malaysia memandangkan tahun ini dijangka ekonomi secara relatifnya bertumbuh," katanya lagi.

Lihat Komen