malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kebimbangan terhadap kemahiran 3M di kalangan murid darjah 1
ADS

Proses pembelajaran yang terjejas tahun ini akibat wabak Covid-19 memberi kesan kepada pelajar, dan antara yang membangkitkan kebimbangan adalah kalangan yang akan masuk darjah 1 pada tahun depan.

Ini kerana perkembangan kemahiran asas membaca, bertutur dan menulis (3M) mereka dikhuatiri tersekat akibat sesi pembelajaran yang terganggu sepanjang tahun lalu.

Perkara itu dibangkitkan bekas menteri pendidikan Dr Maszlee Malik pada 16 Disember lalu, berhubung 'Generasi Tersisih' akibat wabak Covid-19, seperti yang dilaporkan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), Unesco dan Bank Dunia.

Menurut Maszlee, dianggarkan hampir sejuta murid prasekolah, tahun satu dan tahun dua terjejas akibat tiadanya sesi pembelajaran yang normal tahun ini.

Mereka yang terlibat secara langsung dalam pendidikan awal yang dihubungi Malaysiakini rata-ratanya berkongsi kebimbangan yang sama.

Guru Tabika Perpaduan di Hulu Selangor, Zuraini Idris berkata terdapat sebilangan anak muridnya yang berdepan masalah 3M dan keadaan itu diburukkan lagi dengan sesi pembelajaran tahun lalu yang tidak seperti sebelumnya.

"Mereka agak perlahan untuk menerima pembelajaran, tak boleh membaca kerana mengharapkan cikgu untuk mengajar dan tidak dibantu di rumah.

"Masa Covid-19 ini, ada seorang dua murid saya yang tak kenal huruf dan nombor," katanya.

Zuraini mempunyai 25 orang anak murid prasekolah dan dan menurutnya hanya sejumlah kecil yang berdepan masalah itu.

"Pandemik ini memberi kesan kepada murid enam tahun kerana mereka perlu tahu asas belajar (sebelum masuk darjah satu). Kalau tak mengajar secara bersemuka, memang bermasalah," katanya.


BACA: KATA MP | Generasi tersisih


Pengetua Tadika Islam Si Manja Dahlia di Hulu Selangor, Nor Yazimah Mohd Yatim pula berkata walaupun proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) masih dibuat secara dalam talian, ia tidak sama seperti kelas normal.

Katanya, keengganan ibu bapa untuk membayar yuran perkhidmatan - atas pelbagai sebab - juga menyukarkan lagi proses PdP.

"Saya masih menawarkan khidmat PdP tetapi kebanyakan ibu bapa mereka enggan membayar yuran perkhidmatan.

"Bagaimanapun saya tetap mengadakan kelas, jika ibu bapa enggan membayar yuran itu urusan mereka," katanya yang turut membekalkan buku pelajaran kepada murid lantas memberi pilihan kepada ibu bapa untuk mengajar anak mereka sendiri.

Walaupun boleh dikatakan hampir tiada kemungkinan untuk anak muridnya berdepan masalah buta huruf, dia mengakui perkembangan PdP mereka terjejas sepanjang tahun lalu.

Dia juga berkata dalam perancangan untuk mengadakan sesi pembelajaran secara bersemuka dengan jumlah murid yang lebih kecil, iaitu 30 orang berbanding 60 orang seperti sebelumnya.

"Ini untuk menjaga penjarakan fizikal sesama pelajar di samping tadika alami kekurangan tenaga kerja," katanya.

Pertengahan Disember lalu, Maszlee berkata dia turut mengajukan soalan mengenai pelan induk untuk kanak-kanak prasekolah yang memasuki darjah 1 bagi sesi 2021 kepada Kementerian Pendidikan (KPM).

"Isu ini ialah isu pendidikan dan masa depan lebih 1 juta anak-anak kita.

"Tidak wajar isu ini terperangkap dalam gelanggang perbezaan politik," kata Maszlee sambil menyeru semua pemegang taruh untuk meletakkan pendidikan sebagai keutamaan.

'Tak boleh tergesa-gesa rangka pelan induk'

Mengulas perkara itu, Presiden Persatuan Tadika Malaysia (PTM) Eveleen Khoo berkata pelan induk itu akan memakan masa panjang dan perlu menitikberatkan pelbagai aspek.

"Banyak pandangan dan pertimbangan mesti dimasukkan ke dalam pelan induk.

"Ianya tidak dapat dibuat dengan tergesa-gesa agar tidak berlaku kesalahan yang akan memburukkan lagi (keadaan)," katanya.

Katanya lagi, pandemik Covid-19 menyukarkan KPM untuk memberikan arahan kepada sekolah-sekolah yang mempunyai "kaedah pembelajaran yang berbeza".

Menurutnya, KPM perlu mengambil kira kepelbagaian sekolah di Malaysia yang merangkumi sekolah kerajaan, sekolah swasta dan sekolah antarabangsa.

Menjangkakan masalah pembelajaran yang terjadi, guru sekolah menengah di Negeri Sembilan Noor Lizura Mohamed Nasir bertindak proaktif dengan mendidik anaknya yang berusia enam tahun dengan asas 3M.

"Alhamdulillah, anak saya boleh menguasai kemahiran asas 3M ini.

"Anak sudah dimasukkan ke Pasti Al-Fityan sejak berumur 4 tahun, jadi dia boleh buat (3M) mengikut tahapnya," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Lihat Komen