BERITA

Covid-19: 'Padah PN berbalah, boleh bawa celaka'

7 Jan 2021, 3:11 pm

Dikemaskini 3 bulan lepas

A
+
A
-

Bekas menteri kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad berkata dengan kes positif melepasi 125,000, kematian melebihi 515 dan hari ini merekodkan kes terbanyak 3027, Malaysia berada dalam posisi yang amat gawat.

Ini, katanya dapat dilihat apabila kemudahan kesihatan awam khasnya hospital Covid-19 sudah hampir sarat dengan pesakit, manakala bagi mereka yang tidak bergejala tidak lagi dimasukkan ke hospital dan menjalani kuarantin di rumah.

Semalam KKM memaklumkan sistem penjagaan kesihatan awam negara sedang berada pada "tahap genting."

Justeru, Dzulkefly menyeru kepimpinan gabungan politik negara supaya menumpukan usaha menangani pertambahan kes Covid-19.

"Berhenti berpolitik termasuk berbalah sesama sendiri dalam Perikatan Nasional, sekaligus membawa celaka dan ketidakstabilan buat rakyat dan negara," tegasnya pada hantaran di Facebook malam ini.

Menurut Dr Dzulkefly "pemimpin negara semakin kaget dan cenderung untuk sekadar mengenakan PKP sahaja."

"Sementara itu ada sebahagian pemimpin politik berangan-angan untuk membubarkan parlimen dan mengheret rakyat untuk berpilihan raya," katanya.

Ahli parlimen Kuala Selangor dan pemimpin Amanah itu mengulas kemelut antara dua parti teras utama PN, Umno dan Bersatu.

Mesyuarat MT Umno yang dipengerusikan presidennya Ahmad Zahid Hamidi malam tadi memutuskan untuk membawa usul masalah hubungan tegang parti itu dengan Bersatu dalam perhimpunan agung Umno, yang dijadual 31 Januari ini.

Ketua Penerangan Umno Shahril Hamdan berkata, MT mengambil keputusan itu setelah mempertimbangkan usul yang dikemukakan oleh 189 daripada 191 bahagian parti.

Menurut laporan, sebanyak 189 bahagian Umno membuat keputusan untuk menolak kerjasama dengan Bersatu dalam mesyuarat bahagian masing-masing.

Bagaimanapun bekas setiausaha agung BN, Annuar Musa berkata dia mendapat maklumat hanya 99 bahagian yang menolak kerjasama dengan parti serpihannya itu.

Selain itu, terdapat gesaan yang kuat supaya PRU15 diadakan segera daripada pemimpin Umno.

Sementara itu, Dr Dzulkefly juga mengulas surat terbuka kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang ditandatangani lebih 40 pakar perubatan negara.

"Surat terbuka ini sememangnya tepat dan wajar untuk perdana menteri kelapan bertindak!

"10 pelan tindakan kritikal yang disarankan dalam surat terbuka ini adalah amat mustahak dilaksanakan segera," katanya lagi.

Menurut surat terbuka itu, pakar-pakar mengambil maklum "pengurusan pandemik Covid-19 negara memberi gambaran yang suram dan tidak terkawal."

"Walaupun dijalankan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan intervensi kesihatan yang lain, laporan harian kes masih tidak menunjukkan tren penurunan.

"Kadar Insiden Terkumpul (bagi setiap 100,000 penduduk) dan Kadar Kebolehjangkitan (kes aktif bagi setiap 1,000 penduduk) tidak melandai, dengan Kadar Kebolehjangkitan berada pada tahap 0.879 bagi setiap 1,000 penduduk.

"Ini bermaksud antara 8 hingga 9 orang telah dijangkiti untuk setiap 10,000 orang," kata mereka.

Lantaran itu, pakar-pakar ini mengusulkan sepuluh tindakan yang boleh dilakukan kerajaan, antaranya dengan memindahkan semua pesakit bukan Covid-19 ke hospital kerajaan dan swasta yang tidak merawat pesakit Covid-19. 


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Komen