malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Umno keluar PN bulan ini? Zahid kata fitnah
Diterbitkan:  Jan 5, 2021 3:40 PM
Dikemaskini: 7:45 AM
ADS

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan laporan bahawa dia meminta anggota parlimen parti itu meninggalkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum Februari sebagai tidak benar.

Dalam salurannya di aplikasi Telegram, gambar rakaman skrin laporan di portal Suara TV itu dikongsikan dengan label “fitnah”.

Portal itu sebentar tadi melaporkaan Zahid meminta anggota parlimen Umno meninggalkan kerajaan PN sebelum Februari bagi membolehkan pilihan raya umum diadakan secepat mungkin.

Portal itu berkata Zahid berkata demikian dalam perjumpaan bersama ketua-ketua Umno bahagian seluruh negara di ibu pejabat parti di Kuala Lumpur hari ini.

“Menurut Ahmad Zahid, Umno tiada pilihan kerana kerajaan ini gagal memahami hati nurani rakyat yang mahukan pembaharuan dan reformasi dalam pentadbiran,” menurut laporan itu.

Ahmad Zahid Hamidi 

Suara TV juga melaporkan, Zahid dalam ucapannya meminta semua menteri dan pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) daripada Umno melepaskan jawatan sebelum 1 Februari ini.

Semalam, Pengerusi Umno Kelantan Ahmad Jazlan Yaakob meletakkan jawatan sebagai pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) setelah menggesa parlimen dibubarkan bulan ini.

Sementara itu, Setiausaha agung Umno Ahmad Maslan berkata sebarang keputusan hari ini akan dibawa untuk perbincangan Majlis Tertinggi (MT) Umno.

“Itu hanya laporan, apa-apa yang kita bincang tadi kita akan bawa ke Majlis Kerja Tertinggi.

“Jadi, keputusan muktamad, apa juga yang dibincangkan adalah MKT esok malam,” katanya kepada pemberita.

Ahmad Maslan 

Bagaimanapun, ketika diminta mengulas lanjut berhubung laporan tersebut Ahmad enggan mengesahkan bahawa Zahid mengeluarkan arahan itu.

Sementara itu, menteri Umno Khairy Jamaluddin dalam acara berasingan berkata dia terikat kepada sebarang keputusan MT.

Dia berkata demikian ketika ditanya sama ada akan meletakkan jawatan jika Umno menarik balik sokongannya pada kerajaan PN pimpinan Muhyiddin Yassin.

Khairy Jamaluddin 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen